Virus Nipah merebak dari air liur, kencing babi

17 Ogos, 1999 - Paparan ini adalah untuk memberikan serba sedikit maklumat bagaimana virus Nipah yang dipandang kecil tetapi berisiko tinggi itu merebak. Semoga jadi pengajaran semua.~MR

Saintis Australia temui cara kuman itu jangkiti manusia

MELBOURNE -- Virus Nipah, yang telah menyebabkan kematian lebih 100 orang di Malaysia baru-baru ini, berada pada air liur babi.

Ia mungkin menjangkiti pekerja ladang ternakan apabila pekerja berkenaan tersedut air liur babi daripada pernafasan haiwan itu.

Cara jangkitan lain ialah sentuhan dengan air kencing atau cecair babi semasa pekerja ladang babi membantu haiwan itu melahirkan anak.

Ini merupakan antara hasil kajian saintis Australia dalam usaha mereka mengenal pasti bagaimana virus Nipah, yang menyebabkan wabak penyakit merebak menerusi babi ternakan.

Malaysia telah meminta bantuan saintis dari Makmal Kesihatan Haiwan Australia Werribee, dekat Melbourne, dan Jabatan Industri Utama Queensland, Australia, untuk membantu menangani wabak itu.

Semasa pertemuan Kongres Virologi Antarabangsa Ke-11 di Sydney, ahli veterina dari Pertubuhan Saintifik dan Penyelidikan Industri Komanwel (CSIRO), Cik Deborah Middleton, berkata pasukan saintis Australia telah mengesahkan virus yang ditemui pada babi dan manusia itu adalah jenis yang sama.

Beliau berkata babi boleh dijangkiti virus itu tanpa kesan ketara, dan virus itu juga boleh menjangkiti kelawar, kucing dan kuda.

Cik Middleton berkata virus Nipah berkait dengan virus Hendra yang telah membunuh dua manusia dan 16 kuda di Australia dalam 1994.

Kepada manusia, virus Nipah merosakkan sel otak dan membantutkan sistem pernafasan dan jantung.

Cik Middleton berkata virus itu tidak merebak di kalangan sesama manusia. -- Bernama