19 Ogos, 1999 - Takrif kemajuan pembangunan sebenarnya mestilah seiring di antara pembangunan rohaniah dan fizikal. Dalam amalam Kerajaan BN, takrif pembangunan yang ada ialah melaksanakan pembangunan fizikal secara 'mega' dan menonjolkannya untuk kemegahan.
Justeru itu tidak hairan kegawatan sosial berlaku dalam negeri paling maju di Malaysia seperti Selangor dan Johor. Akibat aktiviti pembangunan yang tidak seiring, maka kejadian jenayah seperti rogol, buang anak dan sebagainya sering berlaku. Ini menghantui rakyat yang hidup diancam ketakutan.
Sebaliknya kepada Kelantan kejayaan yang dihasilkan melalui formula Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, ialah melaksanakan pembangunan secara keseimbangan antara kepentingan rohaniah dan jasmaniah. Kerana itu dalam rancangan ANALISA tajaan TV3 semalam seorang pensyarah sebuah universiti tempatan (nama tidak ingat) menyatakan rakyat Kelantan adalah rakyat yang bijak. Buktinya di mana sahaja IPTA, mereka selalu menempatan diri. Begitu juga dalam jabatan kerajaan yang penting. Sesungguhnya ini membuktikan bahawa rakyat Kelantan amat matang dan cerdik serta memiliki pelajaran yang tinggi.
Perkara ini mesti diakui oleh semua pihak kerana ia datangnya dari faktor bahawa Kelantan melaksanakan pembangunan yang seimbang. Berbanding dengan Selangor, Johor, Perak dan Pulau Pinang yang mendahulukan pembangunan fizikal, melaksanakan projek mega bertaraf dunia, tetapi nilai martabat dan kerohanian rakyat amat rendah hingga menjelaskan kepada kita kegawatan sosial yang dialami.
Analisa yang cuba memfokus kegagalan pembangunan negeri Kelantan melalui rancangan setengah jamnya semalam antara lain tanpa menyedari akur akan kejayaan anak Kelantan itu. Kepada rakyat adalah jelas bahawa keseimbangan antara pembangunan rohani dan jasmani adalah jaminan penting membentuk keperibadian diri dan negara yang sempurna.
Pelaksanaan projek mewah dan megah tanpa menghitung soal pendidikan dan maruah rakyat hanya mengeksplotasi sumber kekayaa negara untuk keuntungan diri beberapa pihak, sementara nasib rakyat masih sama, malahan ada yang merempat lebih teruk dari warga Kelantan sendiri.~MR