Polis Berlaku Tidak Adil Sekali Lagi

20 Ogos, 1999 - Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohamed Nor mendakwa bahawa pihak polis gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kerana tidak mengambil sebarang pernyataan daripadanya berhubung laporan polis yang dibuat 8 Mei lepas, atas kes penyelewengan pemberian saham kepada keluarga sendiri, oleh Dato' Rafidah Aziz yang telah disahkan oleh Jabatan Peguam Negara, supaya diambil tindakan oleh BPR.

Sebaliknya semalam beliau telah dipanggil untuk direkodkan percakapannya berhubung laporan polis oleh Penolong Setiausaha Pemuda Umno Zulkifli Mohamed Alwi, 15 Ogos lepas atas isu dokumen yang disimpan di luar negara.

Walau bagaimana pun, Ezam tetap memberi kerjasama kepada polis semasa butiran percakapan beliau direkodkan.

Laporan polis yang dibuat oleh Ezam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 8 Mei 1999 itu ialah atas tuduhan rasuah terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berhubung dakwaan rasuah melibatkan menteri itu.

Ezam sekali lagi membuat laporan di IPD Dang Wangi pukul 9 pagi semalam terhadap PDRM yang didakwa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap laporan polis yang dibuat 8 Mei itu.

Laporan polis yang sama turut dibuat terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang didakwa gagal dan cuai melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan dalam artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan/atau Seksyen 376 (1) Kanun Acara Jenayah.~MINDA RAKYAT