ANWAR BUAT LAPORAN
POLIS TERHADAP PERDANA MENTERI
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat
satu laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan
Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah.
Dalam laporan itu, bekas timbalan perdana menteri itu mendakwa kononnya Mohtar
menghalang proses keadilan dan Dr Mahathir pula menghalang tindakan diambil
terhadap bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik berhubung
perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata Anwar melampirkan dalam
laporan polisnya, apa yang didakwanya petikan daripada dokumen siasatan Badan
Pencegah Rasuah dan dokumen Jabatan Peguam Negara berhubung hasil siasatan dan
pertuduhan terhadap Rahim.
Dalam lampiran itu juga, Anwar menyatakan laporan berkenaan merupakan laporan
ke empat beliau dalam mengemukakan bukti wujudnya penyalahgunaan kuasa dan
rasuah di kalangan pemimpin.
Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah
menyalahguna kuasa, mendakwa dokumen seperti itulah yang ada dalam simpanannya
dan "tidak timbul sama sekali dokumen yang melibatkan keselamatan negara."
Sebelum ini, bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohamad Nor berkata
Anwar ada menyimpan lima atau enam kotak dokumen rahsia kerajaan di luar
negara. -- BERNAMA