23 Ogos, 1999 - Pemberian benih anak ayam sejumlah 50 ekor, atau benih bawang seberat 10 kilo serta telekong dan sejadah telah diterima oleh ribuan penduduk Hulu Perak dari wakil UMNO Bahagian dan cawangan masing-masing, serta melalui KEMAS yang kian longgar aktivitinya.
Masyarakat Felda Lawin Utara, Felda Lawin Selatan dan Felda Papulut tidak terkecuali dari menerima pemberian itu dengan harapan pemimpin politik tempatan dari kerajaan BN yang sudah tidak relevan itu dapat memujuk mereka untuk menyatakan sokongan dan memberi undi kepada kerajaan yang memerintah saat ini.
Walau pun mereka menerima pemberian tersebut, namun hati mereka tidak goyah menyatakan pendirian mereka dengan insiden memulaukan majlis ceramah UMNO yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kendayat pada 19 Ogos, lalu.
Sesungguhnya seruan BA yang mengatakan 'diberi kain pelekat, kita ambil; diberi wang kita terima, tapi undi kita tak beri' itu benar-benar dihayati dan dipraktikkan oleh masyarakat Felda berkenaan serta penduduk kampong berhampiran.
Adalah menjadi harapan seluruh masyarakat di segenap lapisan masyarakat negara ini terutama di kelas menengah dan profesional bahawa masyarakaat bawahan tidak ketinggalan dalam arus perdana kebangkitan rakyat bersatu menentang kezaliman di alaf baru! ~MINDA RAKYAT