23 Ogos, 1999 - Kemelut politik yang melanda UMNO begitu mencengkam suasana dan persekitaran yang sebelum ini aman damai bertukar menjadi 'kekecohan demi kekecohan', 'pergolakan demi pergolakan'.
Bukan sekadar melibatkan parti iaitu UMNO sendiri, malahan jawatan yang bersifat politik seperti Jawatankuasa Kemajuan Kampong (JKKK) juga diheret sama dalam kemelut politik yang berpanjangan. Kadang kala persengketaan ini melibatkan juga institusi masjid kerana Jawatankuasa Masjid biasanya dilantik atas restu JKKK itu sendiri.
'Perang dingin' yang berlaku dalam JKKK Chemor dan Chepor adalah dua bukti dalam Lembah Kinta di mana suasana aman damai bertukar menjadi 'tegang dan gelisah'. Perletakan jawatan oleh Bendahari JKKK Chemor, Tuan Haji Hassan Mat Tasah dan seorang AJKnya ada kaitannya dengan aktiviti komando UMNO yang menghalang dan memberikan ancaman kepada institusi masjid yang mahu menjalankan forum perdana bagi suatu majlis ilmu dan memungut sumbangan orang ramai bagi pembesaran masjid yang gagal mendapatkan pembiayaan pihak kerajaan.
Lantaran kecetekan ilmu di dada, komando UMNO dengan 'angkuhnya' mencetuskan suasana tidak selesa apabila mengancam dan kemudiannya membuat laporan polis di atas keputusan pihak JKKK Masjid Jamek Chemor mengadakan forum perdana itu. Akhirnya forum perdana yang dijadualkan pada 31 Julai lalu gagal di adakan dan pembesaran masjid tertangguh akibat tidak mendapat peruntukan kewangan yang mencukupi.
Begitu pula dengan Pengerusi JKKK Kg. Chepor, Haji Isa yang memberikan amaran kepada pemuda PAS dalam kampongnya, akan menembak 'bendera', poster atau apa sahaja yang berkaitan dengan parti PAS dalam kawasan kampong tersebut. Lihatlah UMNO menangani suasana kegawatan dengan ancaman dan ugutan. Pihak polit juga bertindak melulu dan kerapkali menyebelahi parti kerajaan tanpa mengambilkira perhitungan kebenaran dan keadilan.
Sesungguhnya kedua-dua kejadian ini yang berlaku dalam Lembah Kinta merupakan antara ribuan bukti bahawa UMNOlah pencetus suasana 'huru hara' dan politik terkotor dan jijik lagi menjijikkan. Kepala samseng negeri Perak ialah Ramli Marcos yang nampaknya memberi restu kegiatan para komando UMNO seharusnya lebih rasional menangani anak buahnya dan beliau patut menanggung segala risikonya. ~MR