ARTIKEL NST JELAS MENGHINA HUKUM DAN SUNNAH

Artikel "10 Sebab Mengapa Pakaian Tiada Kaitan Dengan Nilai Moral" (10 Reasons why dressing has nothing to do with moral values) yang diterbit di bahagian "Youth Quake" akhbar the New Straits Times, Jumaat 23 April 1999 jelas menghina hukum Islam.

Kadir Jasin sebagai Ketua Pengarang NST memang berniat jahat apabila mengeluarkan sebuah artikel yang begitu teruk menghina hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Azzawajalla.

Di dalam artikel tersebut, sebab pertama yang dikatakan pakaian tiada kaitan dengan nilai moral ialah bahawa, "Siti Hasmah pernah mengatakan bahawa yang penting ialah dihati bukan pada pakaian seseorang". Mereka ini dengan berani dan secara terbuka meletakkan arahan menutup aurat dan perintah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. lebih rendah dari pandangan atau pendapat Siti Hasmah.

Siapakah Siti Hasmah ini? Adakah dia ini mempunyai kelulusan agama untuk bercakap sedemikian?

Bagi menghinakan kesucian agama Islam, artikel tersebut membandingkan pula kemurnian seruan menutup aurat dalam ajaran Islam dengan keganasan yang lakukan oleh kumpulan neo-Nazi Ku Klux Klan. Artikel tersebut mengatakan bahawa kumpulan ganas KKK pun memakai "jubah putih dari kepala hingga ke hujung kaki". Turut dibandingkan ialah pakaian Darth Vader. Darth Vader yang terkenal sebagai watak jahat dalam filem Star Wars dikatakan sentiasa menutup seluruh badannya - dan dia masih tetap seorang yang jahat.

Apakah motif disebalik tulisan sebegini? Apa tujuan NST mengeluarkan tulisan-tulisan yang menghina agama Islam? Adakah kerajaan sengaja cuba menguji sentimen orang-orang Islam? Adakah tulisan ini merupakan sebahagian dari siri artikel yang akan menguji kesabaran umat Islam sehinggakan nanti bila tiba suatu perkara yang amat menghinakan umat Islam kita pun tidak bertindak dan apathy terhadap isu-isu itu.

Kenapakah seorang Muslim seperti Kadir Jasin (jika benarlah dia seorang Muslim) mengeluar artikel yang sedemikian rupa meletakkan martabat kesucian Islam se rendah itu? Di mana JAKIM? Di manakah perginya kedua-dua Hamid (Menteri dan Pengarahnya)? Kenapa tindakan sewajarnya tidak diambil terhadap Ketua Pengarang dan akhbar NST?

Ini bukannya soal Anwar atau Mahathir. Ini soal hukum Islam dihina. Perintah Allah diletakkan di paras yang lebih bawah dari pendapat seorang manusia bernama Siti Hasmah. Kalau kerajaan Bangladesh mengeluarkan hukuman ke atas penulis wanita yang lari ke Eropah kerana tulisannya yang menghina Islam, mengapa tidak JAKIM bertindak ke atas NST dan juga orang yang menyangkal hukum Allah, Siti Hasmah.

Yang lebih mengaibkan lagi, JAKIM hanyalah menjadi alat untuk membela dan menyokong saranan dan pendapat pemimpin negara yang nyata bertentangan dengan hukum Islam.

Nyata dan jelas juga peranan yang dimainkan oleh media-media (cetak dan elektronik) kerajaan di negara kita ini dalam memesongkan akidah dan amalan umat Islam.

Dalam pada mereka menghina DS Anwar dengan pelbagai kaedah yang belum pernah dilakukan ke atas seorang pemimpin negara kita sebelum ini, media-media tersebut dengan bersungguh membela nasib artis yang gambar-gambar bogel mereka tersebar dengan meluas melalui internet.

Dalam pada mereka memfitnahkan DSAI dengan sekeji-kejinya, mereka membela artis-artis tersebut dengan mengatakan bahawa mereka difitnahkan. Pelbagai hujjah dicari untuk membela nasib artis-artis tersebut (yang saya yakin gambar-gambar tersebut "genuine") yang memang sudah menjadikan perkara tidak bermoral dan pergaulan bebas sebagai gaya hidup mereka. Media-media ini nyata tidak dapat membezakan intan dengan kaca.

Apabila Prof Shahnon membayangkan betapa kotor dan busuk lagi membusukkan alam politik parti memerintah, terus media-media kerajaan bersungguh memainkan peranan mereka bagi membela pemimpin-pemimpin yang busuk. Bagi saya yang lebih busuk lagi membusukkan ialah hati mereka. Sudahlah hati mereka buta dan pekak ditambah lagi dengan kebusukkan yang telah meracuni fikiran mereka untuk berfikir secara waras.

Ibrahim Baba
13 Mei 1999