MOHTAR: JANGAN DIHARAPLAH GURUH DILANGIT..!!

Mohktar Abdullah, Peguam Negara, perlu sedar dan mengambil perhatian serius bahawa rakyat negara ini tidak sebodoh yang disangkakannya atau takut dengan gertak-ugutan beliau. Jika dengan 'gertak-mengertak' itu Mohtar menyangka rakyat akan tunduk dan menikus, eloklah beliau berfikir 1000 kali.

Rakyat nampak jelas, dengan meneliti keseluruhan perbicaraan DS Anwar yang berat sebelah selama ini dan bagaimana 'gelabah'nya Peguam Negara kelamkabut meminda petuduhan diakhir perbicaraan, orang ramai dan dunia dapat melihat bahawa Jabatan Peguam Negara telah dikuasai oleh 'invisible hands'. Sekali gus kredibiliti Jabatan itu terhakis punah-ranah.

Keputusan kes Rahim Thamby Chik yang menghadapi tuduhan merogol gadis bawah umur dan berakhir Rahim dibebaskan - sebaliknya gadis itu pula yang diperangkap, perihal Lim Guan Eng dipenjarakan tanpa menimbangkan context dan tujuan murni LGE (sebaliknya Peguam Negara mencari kelemahan LGE) - adalah diantara sifat memihak yang paling kotor dan jijik dilakukan oleh Peguam Negara.

Rakyat memerhatikan bagaimana keputusan keatas kes rasuah Mohd Taib (Bekas MB Selangor) yang memang disengajakan supaya Mohd Taib dibebaskan, bagaimana Peguam Negara bersungguh-sungguh menyembunyi dan mencari helah supaya Mahathir, Daim dan beberapa saksi-saksi (terdiri dari para Menteri kerajaan) tidak diheret ke mahkamah - segala-galanya menunjukkan bahawa Jabatan Peguam Negara yang seharusnya 'impartial' sebaliknya adalah takluk/arahan dibawah telunjuk orang-orang tertentu dan berkuasa dalam Kerajaan.

Beberapa kali disebut-sebut bahawa penyiasat keatas penglibatan sahih Rafidah Aziz dalam satu kes rasuah yang amat ketara dan terbukti telah dengan sengaja di'senyap'kan oleh Peguam Negara. Begitu juga, pihak Peguam Negara dan Polis tidak langsung mempedulikan tuduhan dalam internet menyebut anak-isteri Mahathir dan suku-sakat adik-beradik Siti Hasmah mempunyai simpanan beratus-ratus juta US$ didalam National Bank of Isreael di Singapura tidak pernah disiasat. Ada diantaranya adalah para Menteri Kabinet Mahathir sendiri.

Ini membuktikan bahawa Jabatan-jabatan terbabit adalah dibawah telunjuk orang kuat No 1 dalam Kerajaan yang dalam ketakutan sekarang. Ini juga mencerminkan bahawa Jabatan ini telah di tulari oleh budaya 'takut' dan tidak berwibawa lagi. Krisis kredibiliti seumpama ini adalah masalah besar. Siapa sebenarnya yang takut:, orang yang mengendalikan Jabatan Peguam Negara kah atau orang-orang tertentu dalam Kerajaan? Siapa yang sebenarnya rasuah: Jabatan Peguam Negara kah atau orang-orang tertentu dalam Kerajaan?

Dari apa yang dilihat dan diteliti, dalam kes "seks diluar tabii" dan "Rasuah" yang dituduhkan keatas Datuk Seri Anwar - sehingga hari ini rakyat amat yakin bahawa sebenarnya Kerajaan Mahathir lah yang paling takut segala rahasia keburukan, kebusukan dan fitnah yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan berthabit dibongkar habis-habisan di mahkamah. Kerana itu, mereka mahu supaya "Konspirasi Politik" menjatuhkan Datuk Seri Anwar tidak dikupas hingga terbukti benar.

Oleh yang demikian, dalam keseluruhan proses penghakiman kes itu; pihak-pihak yang terbabit iaitu Kerajaan Mahathir (melibatkan Mahathir sendiri), Jabatan Peguam Negara (melibatkan Mohtar dan Ghani Patail) Jabatan Polis (melibatkan beberapa pegawai tinggi Polis) dan Jabatan Hakim (Paul Augustine) telah mewujudkan satu pakatan "Komplot Tertinggi" supaya Datuk Seri Anwar "mesti" (ulang: Mesti) didapati bersalah. Ini berpunca dari keadaan keempat-empat pihak yang berkomplot dan masing-masing pihak mempunyai reputasi rasuah, penyelewengan dan kerja-kerja busuk lagi aib yang diketahui antara satu dengan lain. Kerana Mahathir adalah dikenali sebagai manusia 'pendendam' dan tidak akan bertolak-ansur jika kepentingannya terjejas; maka tiga pihak yang lain (Jabatan Peguam Negara - melibatkan Mohtar dan Ghani Patail; Jabatan Polis - melibatkan beberapa pegawai tinggi Polis dan Jabatan Hakim - Paul Augustine) terpaksa akur dan jadi Pak Turut dan terpaksa menangani kes-kes berkaitan secara paling tidak manasabah. Mereka tahu, jika mereka membantah, bermakna mereka sama seperti menganiaya diri, keluarga dan memusnahkan masa depan mereka sendiri. Kerana kepentingan diri mengatasi keadilan, maka mereka memilih jalan mudah dengan berlaku "tidak" adil.

Maka dijatuhkanlah hukuman 6 tahun penjara keatas Datuk Seri Anwar. Hukuman penjara 6 tahun itu juga adalah satu 'magic figure' yang bertujuan memastikan supaya Datuk Seri Anwar tidak akan dapat aktif langsung dalam politik selama satu tempoh yang amat panjang. Ramai pihak yang yakin bahawa segala-gala ini telah diteliti dan dijangka supaya dalam tempoh 15 tahun itu, Mahathir dan orang-orang terbabit dalam "konspirasi Politik" dan "Komplot Penghakiman" itu tidak lagi menerajui kerajaan dan jabatan masing (bersara atau mati).

Berasaskan keadaan ini, rakyat dapat menduga betapa besar, hebat dan kotornya rasuah, penyelewengan dan betapa menggerunkan sekali kesannya kepada Kerajaan Regim Mahathir jika skandal itu berjaya dibongkar habis-habisan. Pasti akan banyak 'kepala' pihak dan induvidu dalam kerajaan Mahathir akan 'terguling' dicantas rakyat.

Yang sahih ialah: Kerajaan Barisan Nasional akan tumbang, hancur-ranap dan terhapus-kikis tanpa sebarang kesan!! Masalah ini amat besar, malah lebih besar dari kes rasuah Presiden Korea Selatan atau yang pernah berlaku di India, Marcos di Filipina, Soeharto di Indonesia, dsbg-nya. Orang-orang terkaya dinegara ini yang pernah menerajui Kerajaan Regim Mahathir akan berakhir menjadi orang-orang muflis yang akan menadah tempurung dipenjara dalam tempoh yang sangat lama. Harta kekayaan mereka (milik anak-anak dan suku-sakat) akan dituntut rakyat supaya dipulangkan sebagai khazanah negara.

Walaupun proses 'pembersihan' seumpama itu akan memakan masa, namun hikmahnya amatlah besar kepada kredibiliti negara dan rakyat. Dunia akan lebih yakin terhadap ketelusan pentadbiran negara dan kredibiliti kerajaan akan melonjak hebat.

Untuk tujuan tersebut, rakyat yakin dan pasti bahawa adalah sangat-sangat mustahil kerajaan Regim Mahathir bersedia menghadapi "Proses Permbersihan" seumpama ini dan dalam waktu yang sama bersedia mengorbankan diri masing-masing demi kepentingan negara dan rakyat? Kita lihat pengalaman rakyat Korea Selatan, Indonesia, Fillipina; HANYA ketua kerajaan dan dab Kerajaan yang BARU sahaja yang mampu mengendalikan 'proses pembersihan' itu dengan sempurna. Pada hematnya, jika rakyat Malaysia mahukan satu pembersihan muktamad dan mengembalikan kepercayaan dunia dalam aspek pelaburan; tidak ada jalan lain selain dari MENUMBANG dan MENUKAR kerajaan Regim Mahathir sekarang dengan Kerajaan Barisan Alternatif yang lebih diyakini seluruh rakyat. Selagi UMNO, MCA dan MIC dan parti sekutunya yang menganggotai Barisan Nasional masih memegang tampuk pentadbiran negara - selagi itu lah rakyat akan dibuai dengan 1001 pembohongan sementara mereka akan terus-menerus bermewah-mewah merompak harta rakyat!!

Rakyat sudah maklum bahawa tidak ada satu biji mata dalam kepimpinan UMNO/BN yang boleh dikatakan tidak terlibat dengan rasuah dan penyelewengan. Masing-masing kayaraya melalui cara proksi atau berhubungkait dengan pelbagai taktik kotor berbau rasuah. Jika Datuk Seri Anwar yang tidak jelas terlibat dengan rasuah dikenakan 6 tahun penjara, kebanyakan pemimpin rasuah dalam UMNO/BN terbabit pasti akan menjadi penghuni penjara hingga keakhir hayat masing-masing.

Membiarkan UMNO/BN terus memerentah bermakna memberi mereka kesempatan luas untuk meneruskan agenda busuk yang dirancang. Kerana tidak ada siapa yang akan menghalang mereka, maka hutang negara akan bertambah, simpanan rakyat akan dihakis dan kesejahteraan rakyat tidak akan menjadi keutamaan lagi. Cakap-cakap manis madu hari ini semata-mata kerana Kerajaan Regim Mahathir telah terlalu tersepit dan dibenci rakyat. Jika orang Melayu berhadap-harap kepada Dasar Ekonomi Baru kan mengembalikan maruah ekonomi mereka, anggaplah itu cuma wujud pada dasar sahaja. Yang pasti menikmati Dasar itu ialah segelintir kroni pilihan dan keluarga pemimpin UMNO, MCA dan MIC saja.

Orang kampung tetap orang kampung - kais pagi makan pagi dan kais petang tak akan dapat menampung keperluan untuk hari esok. Sekarang sudah nampak jelas bahawa tidak ada Jabatan dalam sistem pentadbiran Regim Mahathir, dan tidak ada siapa pegawai yang berkedudukan tinggi menerajui Jabatan-jabatan terbabit dalam kerajaan Mahathir yang tidak terlibat dengan budaya 'takut'.

Kita sudah dengar pergolakan di Perak (penyelewengan pembalakan dan tanah), Pahang (pembalakan), Selangor (tanah dan pembahagian perumahan), Negeri Sembilan (perusahaan babi), Johor (tanah), Kedah (rampasan tanah Simpanan Melayu di Karpan), Wilayah Persekutuan (setinggan dan tanah simpanan Melayu), Terengganu (penyalahgunaan wang hasil minyak).

Bukan setakat itu saja, malah wang zakat juga telah digunakan oleh pihak tertentu untuk pembelian saham oleh ulamak UMNO sendiri, penglibatan Tabung Haji dengan Projek mega yang tidak 'viable', penggunaan EPF dan PETRONAS untuk menampung keperluan 'bail-out' syarikat suku-sakat dan kroni Mahathir, dan ratusan penyelewengan dan salahguna kuasa yang diamalkan oleh Regim Mahathir.

Segala-gala ini memerlukan satu bentuk pengadilan dan proses pembersihan yang telus. Nampaknya Mohtar Abdullah dan Eusoff Chin tidak mempunyai kredibiliti untuk menangani kesemua ini kerana mereka adalah orang-orang yang sudah terperangkap dan diugut. Sesungguhnya, tangan-tangan mereka sendiri lah yang mengunci pintu kurungan penjara masing-masing. Kemudian Mahathir membuang kunci itu jauh-jauh. Masihkah rakyat mengharapkan amalan KEADILAN dan KETELUSAN dari Kerajaan Regim Mahathir lagi?

Peguam Muda KeADILan Alor Setar
16 Mei, 1999