TIADA DALAM POLISI KERAJAAN MEMBELA RAKYAT

Walau pun seringkali kita dengari ucapan para pemimpin mahu berjuang membela nasib rakyat, namun jika diteliti daripada asas pembentukan sesuatu dasar yang hendak dijalankan oleh sesebuah organisasi pentadbiran atau kerajaan, maka jawapan yang akan ditemui adalah sebaliknya. Kenapakah saya katakan demikian, ada kaitannya dengan beberapa hujah yang bakal saya bicarakan nanti. Perbicaraan itu saya khususkan kepada isu yang sedang hebat diperbahaskan masakini iaitu penyelesaian masalah rumah kediaman bagi rakyat.

Menerusi RMK7, Kerajaan Negeri Perak berhasrat untuk mengujudkan tidak kurang 17,200 buah rumah kos rendah khusus untuk rakyat yang berpendapatan rendah. Sekali imbas hasrat murni kerajaan negeri itu patut disanjung. Namun di sebalik matlamat dan pencapaian itu, sudahkah kita mengkaji sejauh manakah kemampuan rakyat membeli sebuah rumah berharga RM33,000 hingga RM35,000 itu? Apakah sudah diambil kira pendapatan rakyat termiskin yang masih menumpang tanah 'haram' dan bekerja kais pagi makan petang?

Hasrat Kerajaan negeri sebenarnya jika dihalusi, bukan mahu membantu rakyat dengan jujur dan ikhlas. Sebaliknya, melalui penjualan rumah kos rendah, kerajaan mahu rakyat menyumbangkan sesuatu, jika tidak kepada kerajaan negeri, sumbangan itu mesti terus ke kocek perencana dan pembuat keputusan atau pihak yang seumpamanya. Rumah berharga RM35,000 jika diselia dan diselenggarakan oleh rakyat kos pembinaannya secara sendiri, maka kepuasan akan jelas terbayang diruang mata mereka dengan jumlah wang yang sudah dihabiskan untuk memiliki rumah tersebut.

Jika dengan harga RM35,000 rakyat disajikan rumah berbata pasir, dengan keluasan 18 X 35 atau 20 X 30, maka akan jelas terserlah kekecewaan rakyat memiliki sebuah rumah pada harga yang tidak setimpal dengan harapan mereka. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana pihak yang membuat pelaburan mesti mengaut keuntungan yang tidak kurang 30 peratus bersih, setelah ditolak pelbagai bayaran rasmi dan 'tidak rasmi' institusi yang terlibat dengan perencanaan ini. Kesemua bebanan ini pada amalannya semata-mata dibebankan terus kepada rakyat.

Umpamanya jika rumah bernilai RM35,000, kebiasaan kos pembinaan dan rumah adalah sekitar RM20,000 sahaja. Ini belum dikira kesempurnaan pembuatannya dan spesifikasi bahan-bahan yang digunakan semasa membina rumah tersebut. Maka yang akan menanggung kerugian ialah rakyat jelata. Jadi di manakah laungan membela nasib rakyat itu?

Dasar kerajaan negeri sendiri yang tidak mahu meneruskan kesinambungan Rancangan Perkampongan Tersusun (RPT), mempamirkan jelas kepada semua bahawa hasrat kerajaan sebenar ialah menyiksa rakyatnya. Alasan kerana kerajaan negeri tidak mahu mengorbankan wang ringgit untuk membiayai bekalan elektrik dan bekalan air tidak boleh diterima lagi. Perkara ini ditanggung beres jika sekim perumahan bercampur dilaksanakan kerana bebannya telah dikenakan ke atas rakyat secara tidak langsung di dalam harga rumah. Di manakah tanggungjawab kerajaan negeri semasa kempen pilihanraya setiap 5 tahun sekali, bahawa bekalan elektrik disalurkan dengan 'percuma' dan rakyat hanya perlu bayaran kos yang kecil dan bil semasa sahaja? Apakah janji-janji keperluan asas mahu dipolitikkan juga?

Dalam baki RPT yang dilaksanakan sekarang juga ada kelainannya kerana mempunyai elemen mahu membebankan rakyat. Umpamanya tanah yang dianugerah perlu bayaran pembangunan. Untuk apakah bayaran ini? Seringkali ianya jadi tandatanya rakyat jelata. Harga premium tanah jika dirujuk kepada masa lampau dengan keluasan tanah 80' X 50' hanya beredar tidak melebihi RM1,500 sahaja. Namun apa yang terjadi dengan penganugerahan tanah RPT sekarang, bayaran yang dikenakan kini mencapai RM15,000. Inikah tradisi membela rakyat? Mengapakah segala bebanan ini ditimpakan ke atas rakyat yang tidak berdosa? Di manakah tanggungjawab kerajaan negeri mahu menyelesaikan masalah rakyatnya?

Terlalu banyak contoh yang berlaku di Lembah Kinta, jika pembuktian diperlukan. Satu daripadanya ialah apa yang berlaku dalam RPT Cempaka Sari Tambahan. Kos asal RM9,000 dikenakan ke atas rakyat bagi sebidang tanah berukuran 80' X 50' telah ditambah antara RM3,000 ke RM4,000 lagi. Dimanakah ketelusan pihak kerajaan negeri yang hanya membisu seribu bahasa terhadap permasalahan rakyat? Hampir ke semua RPT yang berada dalam Lembah Kinta berada di persekitaran harga yang serupa.

Apa pula jadi pada RPT Bemban, di Batu Gajah. Tanah seluas 80' X 50' perlu dibayar dengan harga RM15,000 dan tanah tersebut pula adalah bekas lombong semata. Jika mahu dibicarakan soal penyelewengan kuasa pentadbiran tanah di negeri ini maka akan lebih banyak kepicangan yang akan ditemui.

Hanya persoalannya bagaimanakah kita mahu segala masalah ini tidak lagi membebani hidup kita. Selagi dasar tidak diubah, maka perlaksanaan yang akan dijalankan tetap sama. Bagaimana mahu mengubah sesuatu dasar, jika minda pemimpin dan 'decision maker' masih ditakluki oleh nafsu mahu mengumpul harta bagi kekayaan diri sendiri, tanpa sedikit pun menimbangkan masalah rakyat jelata.

Segala permasalahan ini perlu dikaji semula dan ianya perlu diletakkan atas bahu kerajaan yang memerintah dan menjalankan pentadbiran menyelesaikannya. Selagi aktiviti mengumpul kekayaan diri dan para kroni tidak disekat atau dihalang, selagi itulah rakyat akan menderita menanggung beban yang tidak terduga.

Masalah perumahan adalah masalah asas rakyat. Rakyat perlukan perlindungan dan keselesaan hidup. Bukan sekadar 2 bilik tidur dengan ruang tamu yang sempit, malah lebih dari itu keselesaan yang diperlukan. Kerapkali masalah sosial dalam keluarga timbul, implikasi keadaan rumah yang tidak sempurna dan terpaksa berkongsi bilik antara saudara lelaki dan perempuan atau antara bapa dengan anak gadisnya. Itu belum dikira apabila menyambut kedatangan tetamu atau mertua. Dimana kita nak letak muka?

Akhirnya jelas kepada kita bahawa tidak ada satu dasar mengenai perumahan di negeri ini memihak kepada 'pembelaan nasib rakyat'. Justeru itu rakyat harus menginsafi selagi kita berada di bawah dasar pemerintahan kerajaan yang sedia ada, maka selagi itu lah nasib kita tidak terbela!

Bekas Pentadbir
22 Mei, 1999