MASIHKAH KITA DIBUAI MIMPI-MIMPI?

Tulisan ini barangkali agak provokatif. Tetapi kita harus mengintropeksi diri kita (melihat ke dalam diri kita) sendiri apakah yang telah kita lakukan untuk mencapai kemenangan. Apakah yang telah kita lakukan untuk mendapat sokongan di peringkat grassroot misalnya? Apa yang kita nampak PKN kekurangan dalam masalah ini. Mungkin juga PRM. Apalagi PRM pernah dicap sebagai sosialis!

Kita sebenarnya tidak ada kekuatan dan alasan yang kuat untuk memenangi pilihanraya kali ini, sekalipun sokongan agak merata di kalangan rakyat. Dan lebih penting kita harus kerja kuat menyampaikan maklumat kepada setiap orang yang kita kenali.

Kebanyak rakyat jelata hanyalah bergantung kepada surat khabar dan saluran televisyen rasmi untuk mendapatkan maklumat. Dan masalahnya mereka terima maklumat itu tanpa sebarang saringan. Inilah di antara perkara-perkara yang perlu kita atasi. Sekalipun kita benar, tetapi kita mungkin kalah. Kata orang bijak pandai "kebatilan yang tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun."

Kita tidak mahu barisan kita ini bermimpi yang indah-indah tanpa kerja kuat dan kesungguhan yang mendalam.Kita sedang berhadapan dengan Barisan Nasional yang mempunyai agenda yang tersusun. Strategi yang rapi memungkinkan mereka tidak dapat dikalahkan.

Di sebalik keyakinan bahawa kita Barisan Kerajaan Alternatif akan menang dalam pilihanraya kali ini, kita mesti ingat senario 1987. Ketika itu barisan pembangkang yakin mereka akan menang. Tetapi kerana terlampau yakin, akhirnya mereka tewas. Sebab itu kita harus kerja kuat tanpa membuang masa lagi.

Parlimen akan dibubarkan bila-bila masa sahaja. Setiap detik amat berguna untuk menuju kemenangan. Akhirnya Al Quran mengingatkan kita "Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Al Kundangi,
23.5.1999.