TSR MARCOS LINDUNGI RASUAH

Amalan rasuah dalam Jabatan Perhutanan Negeri Perak sungguh mencemaskan. Pengalaman saya sendiri yang terlibat dengan industri pembalakan, sudah satu kemestian 'amalan jolok menjolok' dan 'suap menyuap' dalam industri ini. Pernah dikatakan bahawa rasuah paling kuat pertama 'polis', kedua 'poris' (pengawas hutan).

Namun TSR Marcos semacam mahu melindungi kegiatan yang berakar umbi dalam Jabatan itu. Jika tidak 'follow-up' dengan wang ringgit, sesuatu permohonan balak akan hanya menghasilkan sia-sia kerana permohonan mungkin akan dicampak ke dalam tong sampah. Ini kisah benar yang berlaku hari ini. BPR pula semacam menutup matanya kerana sering menerima arahan supaya jangan masuk campur urusan industri pembalakan.

Pernah berlaku apabila kegiatan ini dilaporkan kepada BPR, pihak yang membuat laporan (selalunya pemohon balak yang tidak puashati cara permohonan mereka diproses dan dipertimbangkan) sebaliknya akan ditekan, walau pun sepatutnya pemberi maklumat perlu dirahsiakan.

Hubungan TSR Marcos dengan pembalak amat rapat sekali. Pembalak terulung di negeri Perak ialah Chung Kai Chen, seorang hartawan bekas ketua Kumpulan Bintang Tiga sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Setiap tahun beliau menerima tidak kurang 3 konsesi balak. Hanya kepada beliaulah TSR Marcos menumpang 'manja' tatkala memerlukan 'imbuhan'. Oleh kerana hubungan yang intim ini, maka Kai Chen boleh berjumpa TSR Marcos pada bila-bila masa sahaja.

Keakraban ini sebenarnya banyak mendatangkan musibah kepada pengawas hutan yang 'jujur'. Perkataan Kai Chen tidak boleh dibantah. Sebarang perkara yang tidak memuaskan hatinya akan terus diadu domba kepada TSR Marcos. Selalunya tindakan yang diambil ialah menukarkan pengawas hutan yang berkenaan ke mana sahaja lokasi supaya kakitangan yang berkenaan tidak lagi terlibat dengan proses permohonan balak atau apa-apa aktiviti pembalakan.

Bukan setakat kakitangan bawahan, malahan TSR Marcos pernah memarahi Azahar Muda (waktu itu belum Dato' lagi) kerana cuba menukarkan keputusan dan kawasan balak. "I don't want the ball on your foot!" Suatu masa kata-kata itu begitu hangat diperkatakan yang menunjukkan kemarahan TSR Marcos kepada Azahar.

Walau bagaimana pun Azahar seorang Pengarah yang bijak. Dia cepat memahami cara TSR Marcos bekerja. Hasil daripada perubahan sikap Azahar terhadap TSR Marcos, dalam tempoh kurang 2 tahun, Azahar sudah menerima gelaran Dato'.

Hakikatnya Jabatan Perhutanan Negeri Perak penuh korupsi. Jika anda mahu tahu cuba libatkan diri anda, asal anda sudah bersedia untuk menempah sebuah penyesalan!!

X -Rangers
27 Mei, 1999