25 Ogos, 1999 - Profesyen perguruan yang tiba-tiba sahaja menjadi fokus kerajaan BN, menerima serangan dan hentaman yang agak hebat tidak sebagaimana sebelum ini. Cabaran terbaru oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus supaya guru yang menentang dasar Kerajaan secara terang-terangan dinasihatkan meletakkan jawatan.
Jika benarlah komen itu dari Datuk Khalid sendiri, guru-guru mereka masih ada ruang untuk menyatakan pendirian mereka iaitu secar sulit dan sembunyi-sembunyi. Namun hakikat sebenarnya yang menjadi tentangan guru-guru, malahan segenap lapisan masyarakat kelas menengah di negara ini ialah terhadap dasar yang zalim dan melampau.
Di pihak pemimpin kerajaan merasakan mereka terlalu benar hingga melahirkan sikap keangkuhan dan tidak bersedia dikritik, walau pun jawatan mereka berbentuk 5 tahun sekali. Jika semua pihak dan segenap lapisan masyarakat sudah membantah sesuatu dasar pemerintahan, sewajarnya barisan kepimpinan yang memerintah itu mengkaji akan kelemahan yang ada dan menjadi tentangan rakyat sekelian.
Sebaliknya barisan kepimpinan negara hari ini merasa terlalu 'benar' hingga seolah-olah tiada cacat celanya dasar yang dilaksanakan dan sebaliknya menuding jari kepada guru-guru atau kalangan apa sahaja yang mengkritik mereka, hingga prinsip demokrasi telah dicemarkan oleh kepimpinan yang memerintah negara.