APA PULA MUSLIHAT YANG INI?

25 Ogos, 1999 - Permohonan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik untuk menghalang DAP daripada terus mengedar, menerbit, mencetak atau mengeluar sebuah buku dan poster-poster yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah terhadapnya, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Sept ini di sini.

Hakim Datuk Azmel Ma'amor menetapkan tarikh itu bagi membolehkan DAP, setiausaha agungnya Lim Kit Siang dan pengerusi kebangsaannya Dr Chen Man Hin, yang dinamakan sebagai defendan-defendan, mengemukakan afidavit jawapan terhadap afidavit yang difailkan Abdul Rahim pada 20 Ogos lepas untuk menyokong permohonan itu.

Dalam permohonannya, Abdul Rahim meminta supaya defenda-defendan, pekerja atau ejen mereka, dihalang daripada terus mengedar, menerbit, mencetak atau mengeluar buku serta poster berkenaan sehingga mahkamah memutuskan saman malu yang dikemukakannya terhadap mereka.

Dalam afidavitnya, beliau berkata buku serta poster berkenaan dibuat sempena satu kempen yang dimulakan oleh ketiga-tiga defendan pada pertengahan tahun 1998.

Abdul Rahim berkata beliau telah menyaman kesemua defendan pada 16 Ogos lepas dan mendakwa mereka juga telah menyiarkan perkataan-perkataan itu atau perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang serupa di laman Web Sedunia di alamat http/www.malaysia.net/dap/ dalam Internet.

Katanya perkataan-perkataan yang disiarkan itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat sehingga menyebabkan perasaannya terganggu serta mengalami kecederaan dari segi reputasi peribadi dan politik selain dibawa ke dalam skandal awam, kebencian dan kehinaan.

Abdul Rahim berkata beliau telah menghantar surat bertarikh 21 Julai 1998 untuk memberi peluang kepada ketiga-tiga defendan menurunkan poster serta meminta maaf berhubung perkara itu tetapi ditolak melalui surat bertarikh 28 Julai 1998 daripada peguam mereka, Karpal Singh.

Oleh itu, Abdul Rahim berkata beliau tidak mempunyai alternatif lain selain memulakan satu tindakan undang-undang terhadap ketiga-tiga defendan.

Beliau berkata jika tidak dihalang oleh mahkamah, besar kemungkinan ketiga-tiga defendan akan terus memfitnahnya secara lisan atau bertulis semasa meraikan pembebasan Lim Guan Eng dari penjara pada 25 Ogos ini.

Menurutnya beliau juga telah mendapat satu perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang majalah Asiaweek daripada terus menerbitkan perkataan-perkataan berunsur fitnah terhadapnya dalam saman terhadap majalah itu.

Dalam samannya terhadap DAP, Lim dan Dr Chen, Abdul Rahim berkata buku dan poster yang mengandungi perkataan-perkataan berunsur fitnah terhadapnya adalah direka untuk menarik perhatian umum secara maksimum.

Katanya kesemua defendan mengetahui bahawa tuduhan-tuduhan mereka terhadapnya mengenai rogol statutori terhadap seorang gadis bawah umur adalah palsu kerana beliau tidak pernah didakwa atau disabit untuk kesalahan itu dan oleh yang demikian, dianggap tidak bersalah di bawah undang-undang.

Beliau berkata perkataan-perkataan berunsur fitnah itu amat serius serta merosakkan dan ketiga-tiga defendan tidak memberi peluang kepadanya untuk memberi komen atau menafikannya sebelum perkataan-perkataan itu disiarkan.

Selain ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlahnya, Abdul Rahim juga menuntut ganti rugi tambahan dan teladan untuk libel, faedah, satu perintah untuk menghalang kesemua defendan daripada terus menerbitkan fitnah terhadapnya, kos serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -- BERNAMA