EDISI KHAS: SEJUJUR MANAKAH HASRAT KERAJAAN MEMBANTU RAKYAT?

Dua hari lalu, MB Perak Tan Seri Ramli Marcos melancarkan satu projek pembangunan yang menjadi pemangkin kepada industri pertanian di negeri ini. Projek yang dimaksudkan ialah mengadakan rancangan saliran Paya Tumboh, yang terletak dalam daerah Perak Tengah.

Menurut maklumat yang diterima projek ini bertujuan untuk memperkemaskan sistem saliran yang sedia ada di Sungai Tumboh terus ke Sungai Kinta hingga ke Sungai Perak. Ia juga menyediakan satu rancangan pencegahan banjir yang berkesan melalui kaedah yang lebih sofistikated, sesuai dengan kehendak persekitaran di alaf baru.

Dalam menjelaskan maksud Kerajaan negeri untuk membantu petani dan rakyat bawahan, Ramli Marcos membayangkan kawasan seluas 14,000 hektar yang menerima faedah di bawah sistem saliran tersebut akan dianugerah dan dibahagi-bahagikan kepada rakyat. Apakah benar kata-kata beliau itu?

Akibat pembangunan pesat di Lembah Kinta, sungai Kinta yang membawa muatan kelodak dan sampah sarap berjuta tan setahun itu seringkali mengakibatkan banjir di kawasan Perak Tengah terutama di sekitar Sungai Tumboh dan Kg. Gajah hingga ke Teluk Intan. Kekerapan kawasan tersebut dilimpahi banjir menyebabkan aktiviti pertanian tidak dapat dijalankan dengan baik. Akhirnya sebuah kawasan yang subur tidak menghasilkan apa-apa faedah kepada negeri dan juga rakyatnya.

Keputusan kerajaan negeri membangunkan sistem saliran ini di bawah selenggaraan Jabatan Pengairan Saliran Negeri Perak dilihat sebagai satu usaha yang berkesan untuk memantapkan ekonomi negeri melalui industri pertanian. Usaha ini juga dilihat dapat mempelbagaikan aktiviti ekonomi yang seterusnya menjamin pertumbuhan ekonomi mampan. Namun pertanyaan yang seringkali diajukan apakah benar niat kerajaan membantu rakyat?

Projek Pengairan Sungai Tumboh diputuskan untuk dibangunkan oleh Syarikat Pembangunan Marwan, kepunyaan anak kepada bekas MB Perak Wan Mohamad Wan Teh. Beliau merupakan antara kroni Ramli Marcos. Rancangan pengairan yang menelan belanja RM60 juta ini dibahagikan kepada 3 pakej yang meliputi kerja pengaloran Sungai Tumboh dan Sungai Kinta masing-masing sepanjang 13.8 km dan 7.8 km.

Pakej selanjutnya ditumpukan di kawasan Pulau Besar yang terletak di selatan kawasan Lembah Paya Tumboh bagi membina ban mencegah banjir seluas kira-kira 1,300 hektar. Pakej terakhir bagi projek ini ialah menyediakan sistem saliran dalaman dan infrastruktur.

Sepanjang maklumat yang diketahui, sebelum pelancaran secara besar-besaran ini oleh Ramli Marcos dua hari lalu (iaitu pada 24 Ogos di Jambatan Sungai Tumboh, Kg. Gajah), beberapa syarikat kroni beliau sudah memohon untuk melaksanakan program pertanian dengan pelan terancang. Umpamanya, Syarikat Ikatan Saga Sdn. Bhd. sudah diluluskan konsesi seluas 3,200 hektar dalam kawasan Lembah Paya Tumboh ini.

Syarikat-syarikat lain yang turut disenaraikan ialah Koperasi Serbaguna KEMAS (kroni) 1,000 ekar, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (kroni) 5,000 ekar, JKKK Kg. Gajah (kroni) seluas 1,500 ekar, Yayasan Perak, Ladang MARA dan Syarikat Galian Sg. Terap (semuanya kroni) konsesi seluas 12,000 ekar.

Jika pun benar ada permohonan rakyat yang diterima ialah daripada Rancangan Berkelompok Changkat Budiman seluas 100 ekar yang masih belum diluluskan lagi. Demikianlah bermulanya babak pemulihan ekonomi negeri Perak, sebagaimana tajaan Ramli Marcos di bawah JPS Perak yang berselindung di sebalik kemajuan yang membela rakyat sebenarnya meneruskan usaha-usahanya membela kroni.

MINDA RAKYAT