PAS TERENGGANU JANJI PEMERINTAHAN BERASAS AL-QURAN

26 Ogos 1999 - PAS Terengganu yang mensasarkan negeri itu untuk ditawannya pada pilihan raya umum akan datang, menyediakan manifestonya sendiri dengan berjanji untuk mendaulatkan negeri itu berdasarkan pemerintahan berasaskan Al-Quran dan Sunnah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Wan Abdul Muttalib Embong hari ini berkata parti itu akan mengharamkan segala bentuk perjudian, mengehadkan lesen premis jualan minuman keras dan mengadakan kawalan penguatkuasaan terhadap siber cafe dan kedai gunting rambut unisex.

PAS Terengganu berjanji memberi cuti dua hari seminggu dan cuti bersalin selama 90 hari untuk kakitangan kerajaan selain program pemerintahan berdasarkan sistem "syura rakyat" iaitu yang mengambil kira pendapat rakyat sebelum sesuatu projek dilaksanakan, katanya kepada pemberita di sini.

Perkara-perkara lain yang ditekankan dalam rangka cadangan manifesto itu ialah yang meliputi bidang pentadbiran, perundangan dan kehakiman, kewangan, pendidikan dan dakwah, ekonomi dan pembangunan, kerajaan tempatan, reformasi tanah, pertanian dan perikanan, perhutanan dan perkayuan, petroleum dan gas, pelancongan dan kemasyarakatan.

"Manifesto ini bertepatan dengan hasrat rakyat yang mahukan kepada satu perubahan dalam sistem pemerintahan kerajaan sekarang," katanya.

Wan Abdul Muttalib berkata bahawa sejak 16 Ogos lepas, rangka cadangan manifesto itu telah dijelaskan kepada pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan, persatuan, kakitangan kerajaan dan swasta serta penduduk setempat bagi tujuan mendapatkan maklumat balas.

Menurutnya, manifesto itu adalah khusus untuk Terengganu kerana PAS pusat akan juga mengeluarkan manisfestonya sendiri.

"Bagi negeri lain yang dirasakan PAS berpotensi untuk memerintah negeri berkenaan, kita juga akan menyediakan manifesto negeri itu sendiri," katanya.

Rangka cadangan manifesto PAS Terengganu itu juga menyebut jika PAS memerintah, Perkhidmatan Awam Negeri akan disusun semula dengan menyatukan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri dengan Pegawai Tadbir Agama Negeri serta menghapuskan amalan pilih kasih serta nepotisme dan kronisme dalam perkhidmatan.
               
Parti itu juga bercadang mewujudkan Majlis Ekonomi Negeri bagi menyusun semula dasar ekonomi negeri termasuk menggunakan pendapatan royalti petroleum dan gas sebagai sumber penjana ekonomi.

Ia juga berjanji memartabat dan memelihara wanita daripada sebarang bentuk eksploitasi serta memperluaskan peranan mereka dalam perkhidmatan dan masyarakat.

Bagi bukan Islam, manifesto itu menyebut bahawa mereka diberi kebebasan mengamalkan agama dan budaya masing-masing. -- BERNAMA