Kerajaan Sudah Terperangkap Dengan Agenda Pembangunan Industri

27 Ogos, 1999 - Negara Industri yang dibayangkan oleh PM Mahathir menjadi kelam dan wawasan 2020 supaya negara mencapai tahap negara maju sudah menjadi kusam. Apabila negara dilanda kemelesetan ekonomi yang sudah menjangkau satu tahun, Mahathir seperti mendapat ilham baru dan gerak rentak kerajaan negeri mengalihkan pandangan kembali kepada cara lama iaitu pertanian.

Walau pun kita berbangga dengan hayalan Mahathir untuk menjayakan negara maju di tahun 2020, namun apabila dasar yang dilaksanakan tidak mengambilkira perhitungan agama dan peringatan para ulama, maka kegagalan adalah satu perkara yang biasa terjadi.

Umpamanya jika kita menilai kembali kepada kecemerlangan ekonomi negara beberapa tahun dulu, adakah kekayaan negara yang diperolehi dan dicipta dibahagikan samarata kepada rakyat melalui pembayaran zakat dan pembelaan warga tua dan anak-anak yatim. Mungkin perkara sebegini pada pandangan sesetengah pihak adalah kolot. Namun hakikatnya tidak boleh dinafikan. Allah berfirman maksudnya:

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahwa sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia pula menyempitkan (rezeki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat (tanda-tanda kekuasaan Alla) bagi kaum yang beriman.

Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan (yakni orang yang berhak menerima zakat). Itulah yang lebih baik bagi orang yang mencari keredhaan Allah; dan mereka itulah orang-orang beruntung" Ar-Ruum:37 & 38

Kegagalan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai umat Islam memungkin Allah menurunkan bencanaNya sebagai peringatan kepada yang mahu berfikir.

Pengembalian kepada pertanian tetap dianggap sesuatu yang baik sebagai alternatif kepada yang sudah rugi. Namun kemana pun arah ekonomi kita, jika kita masih 'angkuh' dengan kebolehan kita (seperti Malaysia Boleh) dan dalam masa yang sama kita lupa untuk mengingati Allah dan melaksanakan peraturanNya dalam pelbagai bidang kehidupan, maka nasib yang serupa akan kita alami kesekian kalinya!.Wallahu'alam.

MINDA RAKYAT