Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan
setinggi tahniah kepada seluruh pejuang keadilan terutama keluarga YB Lim Kit
Siang di atas pembebasan Sdr Lim Guang Eng daripada tahanan Penjara Kajang hari
ini. DPP Pusat juga mengucapkan terima kasih di atas pengorbanan yang disumbang
oleh Guang Eng demi untuk mempastikan kelangsungan perjuangan keadilan di negara
ini walaupun terpaksa merengkok di penjara. Pembebasan pada pagi ini sudah tentu
menjadi momentum baru kepada rakyat Malaysia yang sedang berusaha keras untuk
memperjuangkan ‘Kemerdekaan Kedua’ daripada kezaliman dan penjajahan BN.
DPP Pusat berpandangan bahawa sambutan hangat
yang diberikan oleh rakyat dari pelbagai kaum kepada Guang Eng pada hari
pembebasan beliau menggambarkan seluruh kaum yang ada di negara ini bersatu padu
untuk menolak kezaliman BN. Pengalaman Guang Eng yang sudah beberapa kali
merengkok dipenjara menjadi medium utuh yang akan meroboh rangkaian kezaliman
yang sedang ditaja oleh BN. Perpaduan yang berlaku hari ini diharapkan dapat
memulakan sejarah baru yang meruntuhkan tembok perkauaman ke arah menghancurkan
kebejatan pemerintahan BN.
DPP Pusat juga menaruh harapan yang besar
kepada Guang Eng agar tidak serik untuk terus berjuang merobek layar kezaliman
BN. Kezaliman yang ada hari ini mesti terus ditentang dengan perpaduan daripada
seluruh rakyat tanpa mengira darah keturunan, agama, bangsa, status sosial dan
budaya. Menolak kezaliman sudah menjadi tangggungjawab yang besar kepada rakyat
memandangkan kezaliman yang ada semakin menggila meragut segala hak rakyat demi
untuk kemewahan dan keangkuhan hidup pemimpin BN.
DPP Pusat mengajak seluruh rakyat agar
mencontohi pengobanan Guang Eng yang sanggup menjadikan dirinya sebagai lilin
yang membakar diri demi untuk menerangi orang lain. Pengorbanan seperti ini amat
penting dan bermakna di dalam usaha untuk menegakkan keadilan dan menolak
kezaliman yang dijana oleh BN.
DPP Pusat juga menyeru rakyat agar mengambil
kesempatan daripada peluang pilihanraya ini untuk membuat pilihan tepat dengan
menolak BN dan memilih parti-parti alternatif bagi mempastikan pengorbanan Guang
Eng menjadi lebih bermakna untuk melihat keadilan dan kesejahteraan dapat
ditegakkan. Kesilapan membuat pilihan bermakna lebih ramai lagi rakyat yang akan
dimangsakan oleh kezaliman BN.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat