AWASI SURAT PALSU!!!!

KUALA LUMPUR - AWAS! Surat-surat palsu yang dikirim dengan menggunakan lambang parti KeADILan dari bahagian, negeri dan pusat kini menjadi sebahagian daripada perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral pihak-pihak tertentu yang ingin melihat kekeliruan dan perpecahan berlaku di kalangan parti-parti alternatif.

Insiden terbaru yang melibatkan Bahagian Ampang Jaya antara lain menggunakan tandatangan palsu Ketua Bahagian, Abdullah Sani Hamid - dikirimkan kepada semua ketua cawangan termasuk ketua-ketua cawangan Pas yang antara lain kandungannya menyatakan,

"Saya bagi pihak KeADILan Bahagian Ampang Jaya memohon jasa baik tuan supaya kami dapat memperkenalkan bakal calon KeADILan di pilihan raya umum hadapan untuk kerusi Parlimen Ampang Jaya iaitu Saudara Tian Chua, Naib Presiden KeADILan.

"Turut ingin kami memperkenalkan adalah bakal-bakal calon kami bagi kerusi-kerusi Negeri Lembah Jaya, Pandan dan Ampang.

"Oleh kerana PAS tidak akan meletakkan sebarang calon di Ampang Jaya maka kerjasama tuan adalah amat kami hargai demi keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia dan kami akan menghubungi tuan tidak lama lagi."

Kandungan surat itu bukan sahaja palsu malah mempunyai niat jahat untuk memecah belahkan kerjasama Pas dan KeADILan di peringkat bahagian.

Ketua Penerangan KeADILan Pusat, Ruslan Hj. Kasim ketika mengingatkan semua jentera bahagian di seluruh negara mengenai insiden ini menegaskan bahawa ahli- ahli harus berhati-hati sekiranya menerima surat yang kandungannya meragukan sepertimana yang berlaku di Ampang Jaya.

"Ini bukanlah insiden yang pertama kali berlaku kepada kita... sebelum ini seorang Ketua Pemuda Bahagian di Pulau Pinang telah menerima surat palsu yang ditandatangani oleh sekretariat Pemuda Pusat yang antara lain menyatakan dengan pelantikan beliau sebagai ketua pemuda bahagian beliau akan menikmati kemudahan-kemudahan seperti elaun mesyuarat, gaji tetap sebanyak RM2,000 sebulan, telefon tangan dan juga kemudahan penginapan hotel sekiranya terpaksa menghadiri mesyuarat di pusat," kata Ruslan kepada Berita KeADILan.

Tambah beliau, surat-surat yang mengelirukan ini akan menjadi objektif utama pihak-pihak tertentu yang bermaksud untuk mengelirukan ahli-ahli parti alternatif dengan harapan mereka akan mendapat sesuatu daripada insiden ini.

Dan sudah tentulah, tegas beliau, maksud sebenar surat berkenaan ialah untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli parti tertentu sepertimana yang berlaku di Ampang Jaya.

"Dalam kes Ampang Jaya, tujuan mereka yang mendalangi surat ini hanyalah satu - iaitu untuk menimbulkan kekeliruan mengenai soal calon kerana musim sekarang ialah musim demam pilihan raya. .. sebab itulah fokusnya ialah kononnya KeADILan telah pun menetapkan calon mereka dan seolah-olah pucuk pimpinan Pas telah membuat keputusan tidak akan meletakkan calon mereka di semua Dewan Undangan Negeri Ampang Jaya.

"Soalnya ialah kita belum pun menetapkan siapakah calon yang akan bertanding di mana-mana kawasan pun dan sukalah saya menasihati ahli-ahli di peringkat bahagian dan cawangan bahawa biarlah soal ini ditangani oleh pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat,''tegas Ruslan.

Serentak dengan itu beliau menyeru semua jentera penerangan cawangan, bahagian dan negeri bergerak ke arah kerjasama dengan rakan-rakan pembangkang di kawasan masing-masing kerana hanya dengan itu sahajalah mereka dapat memantau dan menolak sebarang khabar angin yang boleh memecahkan hubungan rapat menjelang pilihan raya umum nanti.~Buletin KeADILan

MINDA RAKYAT