Terlalu Banyak Penyelewengan Dalam Pentadbiran Ramli Marcos

28 Ogos, 1999 - Terlalu banyak penyelewengan semasa 3 penggal pentadbiran Ramli Marcos sebagai Menteri Besar Perak, menyebabkan rakyat berazam untuk menumbangkan kerajaan  BN dalam pilihanraya umum negara nanti.

Antara penyelewengan itu ialah:

  1. Konsesi balak adalah untuk kroni dan exco serta Ketua Bahagian UMNO secara giliran di antara mereka sahaja, hingga ada syarikat setiap tahun mendapat konsesi balak.
  2. Pemberian anugerah hakmilik tanah pula hanya untuk ahli UMNO sahaja.
  3. Setiap projek mega mesti melibatkan PKNP yang akan memastikan saham Ramli Marcos dipegang melalui 'proxy' dan sahamnya serta kedudukan beliau sebagai Pengerusi Eksekutif Perampas Kekayaan Negeri Perak (PKNP) itu.
  4. Tiada projek mega atau sebarang projek diluluskan melainkan dengan ikatan dan kerjasama gabungan anak syarikat PKNP bagi memastikan 'sahamnya' terpelihara.
  5. Menyapu sebahagian dari Dana Politik UMNO yang diketahui ramai.
  6. Menyingkirkan Setiausaha Kerja UMNO yang berkhidmat lebih 20 tahun dengan 3 orang bekas MB Perak yang disenangi Mahathir kerana menghalang kegiatannya.
  7. Amalan rasuahnya menyebabkan ia telah menjadi ikutan para pegawai bawahan seperti kata pepatah 'Bapak kencing berdiri, anak kencing berlari'.
  8. Mengaut harta negeri melalui lantikan beberapa orang 'proxy' dan syarikat yang mewakili dirinya sendiri terutama dalam konsesi balak negeri Perak.
  9. Terlalu berkuasa hingga kerapkali melanggar Perintah Am Kerajaan dan Arahan Perkhidmatan apabila beliau menggunakan kuasa vetonya ke atas jentera perkhidmatan awam terutama bagi menentukan kenaikan pangkat kakitangan awam, lantikan kakitangan awam serta pertukaran kakitangan awam.
  10. Projek kecil seperti penganugerahan tanah walau 1 ekar mesti dirujuk kepada beliau untuk kelulusan, walaupun Kanun Tanah Negara dan Peraturan Tanah Negeri membenarkan ia diluluskan oleh Jawatankuasa Tanah Peringkat Daerah. 
  11. Pemberian balak yang boleh diluluskan mengikut kuasa Pengarah Perhutanan Negeri Perak, juga mesti dirujuk kepada beliau untuk beliau luluskan.
  12. Penyelewengan dalam prosedur kerja yang akan memastikan sesuatu projek yang dikehendakinya mesti terus berjalan, walaupun ianya tidak praktikal dari segi logiknya atau bercanggah dengan kesensitivitian penduduk, seperti projek lumba kuda.
  13. Menekan parti alternatif dari segenap sudut dan merestui penubuhan unit komando UMNO oleh Pergerakan Pemuda UMNO Negeri yang kemudian dicontohi dan diikuti di negeri lain.
  14. Memberatkan pembangunan hanya di bandar Ipoh sahaja. Nasib rakyat dan agenda pembangunan penduduk luar bandar terus keciciran di arus pembangunan.
  15. Memperalatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar untuk menghadiahkan harta kerajaan kepada orang tertentu seperti Mercedes Benz E230 kepada Datuk Habib Mansor dengan harga paling minima (jika tidak salah RM30,000 sahaja).
  16. Mempergunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar menghadiahkan gelaran dan pingat mengikuti kuota yang ada kepada semua pegawai di bawahnya dan ia mesti dirujuk untuk pertimbangannya sendiri.
  17. Maklumat terbaru beliau menggunakan beratus ribu wang kerajaan negeri (malahan mencapai angka juta) memperbaiki rumah kediaman resminya yang bakal diumumkan untuk dilelong kepada dirinya sendiri menjelang akhir waktu beliau berkuasa.
  18. Membiarkan setinggan menunggu kelulusan tanah yang tak kunjung diluluskan, walau telah menetap sehingga 25 tahun dan lebih.
  19. Membatalkan rancangan perkampongan tersusun yang menjadi amalan kerajaan negeri dalam membantu rakyat untuk memiliki rumah dalam tahun 1997 sebaliknya menggalakkan syarikat perumahan mendirikan sekim perumahan bercampur.
  20. Menggalakkan Ketua Cawangan dan ke atas memiliki syarikat supaya senang untuk dianugerahkan sebarang projek seperti permit mengangkut tanah dan mengeluarkan pasir dan rumput.
  21. Membohongi rakyat dengan janji yang manis setiap kali menjelang pilihanraya seperti yang dilakukan kepada penduduk setinggan Kg. Batu, Menglembu yang menjadi setinggan lebih 27 tahun lamanya.
  22. Membohongi rakyat dengan mengatakan projek pengairan di Sungai Tumboh, Kg. Gajah untuk kepentingan rakyat, malahan telah meluluskan kepada syarikat kroni dan kontraktor yang melaksanakannya juga adalah kroni beliau.
  23. Menghapuskan cadangan rizab tanah perkuburan Islam di tepi lebuhraya Jelapang bagi membangunkan Pelan Pembangunan Meru Raya.
  24. Menganaktirikan sebahagian kakitangan kerajaan negeri dengan membiarkan mereka berkhidmat di bangunan lama yang uzur dan sudah retak; sebaliknya sebahagian yang lain sudah mendapat tempat bekerja dengan penuh keselesaan di bangunan baru yang berharga RM12 juta dengan segala kecanggihan.
  25. Menghapuskan TSM (Tanah Simpanan Melayu) dan meluluskan untuk dijual kepada 'tangan yang lain' dengan cara yang sering dipertikaikan.
  26. Menyekat konsesi balak yang diperuntukkan sebanyak 10,000 ekar setahun kepada Sultan Perak dan sebaliknya meluluskan atas kuotanya dan kuota UMNO dengan berlebih-lebihan tanpa batasan.
  27. Menguasai Lembaga Tender Negeri dengan memperuntukkan setiap tender yang dihajati kroninya akan diluluskan kepada mereka.
  28. Menutup segala penyelewengan dan salahlaku kakitangan yang menjadi kroni beliau seperti kes rasuah yang melibatkan seorang anak saudaranya di Pejabat Daerah Kinta dengan mengarahkan BPR supaya menutup kes tersebut.

Ini adalah antara penyelewengan yang dikesan oleh rakyat. Malahan yang melibatkan projek di luar negara seperti di Indonesia, adalah di luar pengetahuan rakyat negeri ini.

MINDA RAKYAT