EDISI KHAS: MENGAPA ALLAH BENCI ORANG YANG ZALIM

Tulisan saudara Mohd Shukri b. Abdul Majid bertajuk "Jangan Mudah Menuduh Orang Zalim" dalam Utusan Meloya semalam, memaksa saya memberikan sedikit pandangan untuk memperjelaskan kekaburan tentang tajuk yang diperkatakan.

Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiyah itu menulis dalam skop yang amat terbatas, semata-mata untuk menyatakan perasaan bahawa jangan menuduh seseorang zalim atau sekelompok manusia itu zalim, dengan contoh yang agak sukar untuk difahami kaitannya dengan maksud yang hendak disampaikan.

Sebelum menyatakan tentang orang yang zalim dan sifat mereka, marilah kita merenung sejenak firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut Allah (yakni sifatNya serta keagunganNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, maka bertambahlah iman mereka (keranaNya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal" - Al-AnFaal:2

Marilah secara jujur kita bertanya kepada diri sendiri, apakah kita mempunyai dan memiliki sifat-sifat sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas, yakni apabila disebutkan nama Allah maka gementarlah hati kita dan seterusnya apabila dibacakan ayat-ayat Allah maka akan bertambah keyakinan dan keimanan kita? Jika kita belum dapat merasakan nikmat sebagaimana Allah nyatakan dalam ayat di atas, ternyata kita sudah menzalimi diri kita sendiri.

Oleh yang demikian, yang menjatuhkan kita untuk ditakrifkan sebagai orang yang zalim bukan ukurannya dibuat oleh orang lain. Dengan memanggil orang lain sebagai zalim, tidak akan menjatuhkan seseorang yang dipanggil itu sebagai zalim. Dan zalim juga bukan bermakna 'kejam' sebagaimana takrif bahasa Melayu yang membawa maksud kebengisan, bertindak di luar batasan atau tidak berhati perut.

Sebaliknya kezaliman sebenarnya berpunca dari diri sendiri, setelah seseorang itu atau sekelompok manusia itu gagal mematuhi apa yang diturunkan oleh Allah. Jika sebagai manusia kita tidak memberikan diri kita peluang meneliti hal-hal ugama dan membenarkan telinga kita mendengar ayat-ayat Allah, kita digolongkan sebagai zalim iaitu menzalimi diri sendiri.

Beberapa ayat yang menyentuh 'zalim' yang dijelaskan oleh Allah dalam Al-Quran dapat dilihat dengan jelas melalui firmannya bermaksud:

  1. "Lalu orang-orang yang zalim menggantikan perintah dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu kami timpakan atas orang-orang yang zalim itu siksa dari langit, kerana mereka berbuat fasik" - Al-Baqorah:59
  2. "Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (Pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan Allah amat berat siksaanNya (nescaya mereka menyesal) - Al-Baqorah:165
  3. "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membuat dusta kepada Allah? Mereka itu akan dihadapkan kepada Tuhan mereka, dan para saksi (malaikat) akan berkata: Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Tuhan mereka". Ingatlah kutukan Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang zalim. - Hud:18
  4. "Amat buruklah perumpamaan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim" -Al A'Raaf:177
  5. "Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu) maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim" - Al Baqorah:193

Demikian antara zalim yang dipetik daripada beberapa ayat Al-Quran, dan banyak lagi jika hendak kita huraikan nescaya tidak cukup ruanglingkup perbicaraan ini.

Mari kita sentuh tentang sifat-sifat 'orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah' sebagaimana firman-firman di atas. Bagi menjelaskan maksud itu saya bawakan firman Allah bermaksud:

"Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombong dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaanKu. Mereka jika melihat tiap-tiap ayatKu, mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk , mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka lihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhinya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya" - Al Araaf:146

Inilah antara ciri-ciri orang yang mendustakan ajaran Allah melalui penafian ayat-ayatNya atau meringankan peringatanNya. Pendustaan kepada ayat-ayat Allah memungkinkan seseorang itu melakukan kezaliman. Kepada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, amaran yang diberikan dalam Al-Quran amat jelas sekali kepada kita sebagaimana firmanNya bermaksud:

"Dan (ingatlah) hari di waktu Allah menghimpunkan mereka semuanya, (dan Allah berfirman): "Hai golongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu telah banyak menyesatkan manusia", lalu berkatalah kawan-kawan mereka dari golongan manusia: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami telah dapat kesenangan dari sebahagian (yang lain) dan kami telah sampai kepada waktu yang Engkau tentukan bagi kami". Allah berfirman: "Neraka itulah empat diam kamu, sedang kamu kekal di dalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)". Sesungguhnya Tuhanmu lagi Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui". - Al An'aam:128

Dalam ayat di atas orang yang mendustakan agama itu sudah dihasut oleh syaitan dan sanggup membela syaitan kerana kemewahan dan kesenangan yang mereka miliki. Apabila Allah bertanya kepada syaitan tentang sifatnya yang banyak menyesatkan manusia, maka manusia yang disesatkan oleh syaitan itu pula yang menjawab firman Allah sebagai membela kerana hasutan syaitan itulah yang membawa kesenangan kepada mereka dan hasutan syaitan itulah yang membawa kemewahan, segala macam kekayaan dan segala macam pembangunan kepada mereka.

Tetapi Allah menegaskan bahawa nerakalah bagi mereka itu dan ia merupakan jawapan pasti kepada persekongkolan manusia zalim dengan syaitan yang menyesatkan.

Mengapakah kita perlu menentang orang yang zalim dan tidak boleh bersekongkol dengan mereka? Jawapannya ada dalam firman Allah bermaksud:

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan" - Hud:113

Amat jelas kepada orang Islam yang mukmin bahawa larangan bersekongkol tidak boleh sama sekali. Malahan ayat di atas menyatakan cenderung pun kita tidak boleh. Yakni cenderung kepada kezaliman yang mengakibatkan kita akan disambar api neraka, wana'uzubillah!!

Malahan orang zalim harus diperangi sebagaimana memerangi fitnah dan pembunuhan. Firman Allah bermaksud:

"Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu) maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim" - Al Baqorah:193

Ayat ini membawa maksud bahawa memerangi orang yang zalim adalah pekerjaan yang berterusan hingga ke hari kiamat. Di sinilah Allah perturunkan kelebihan Jihadnya untuk manusia semua berebut-rebut akan kemanisan iman dan syurga yang menanti sebagaimana janji Allah:

"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak pergi berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah janjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang duduk dengan pahala yang besar" An Nisaa':95

Oleh itu kita seharusnya bertindak secara bijaksana untuk tidak bersekongkol dan memilih cara hidup yang melakukan kezaliman. Jika kita tahu seseorang itu bersikap zalim maka hendaklah kita tidak meredhainya dan berusaha sedaya upaya untuk membataskan kezaliman itu menurut kemampuan yang kita ada. Sebagai contoh, jika sesebuah kerajaan melakukkan kezaliman, maka ayat di atas jelas kepada kita melarang bersekongkol atau lebih tepat lagi jangan cenderung atau lebih jelas perbuatan kita jangan memilih kerajaan yang bersifat sedemikian. Wallahu'alam.

BERSATU MENENTANG KEZALIMAN DI ALAF BARU!!

Polong Cyber