29 Ogos, 1999 - Sesiapa pun tidak akan mampu menghadapi situasi di mana kedudukannya akan terjejas. Itulah sebabnya mengapa Maha Firaun itu masih angkuh dan bongkak mahu mempertahankan kerusinya dari sesiapa sahaja, samada saingan dari dalam parti mahupun dari luar parti.
Keadaan ini juga berlaku kepada setiap AP dan ADUN UMNO kerana krisis sokongan yang mereka hadapi begitu meruncing dan menggugat keselesaan mereka. Gara-gara rakyat menentang kezaliman Maha Firaun, maka AP dan ADUN UMNO secara tidak langsung merasakan bahananya.
Inilah yang berlaku kepada ADUN Belanja Mohd Zaim Abu Hassan yang juga seorang exco ugama di bawah rejim Ramli Marcos. Peristiwa beliau ditumbuk oleh penyokong keADILan adalah cabaran yang mesti ditempuhi beliau gara-gara mengikutkan 'nafsunya' yang terhimpit oleh krisis sokongan rakyat, khususnya yang membabitkan kerusi DUN beliau.
Peristiwa berlaku apabila Mohd Zaim bertindak secara peribadi mengoyakkan poster-poster ceramah PAS sebagai pengumuman menyambut kedatangan Mohamad Sabu AP Nilam Puri ke daerah Parit dua minggu lalu. Perbuatan beliau dilihat oleh beberapa orang pemuda KeADILan dan salah seorang darinya telah bertindak menyuruh Mohd Zaim memberhentikan perbuatannya. Namun atas sikap degilnya dan kemungkinan beliau tidak menyangka bahawa kedudukannya sebagai YB pasti tiada siapa berani mengganggu perbuatannya, pemuda itu kemudiannya telah melepaskan tumbukan yang memberikan kesan ke atas ADUN Belanja itu.
Sesungguhnya peristiwa ini mencerminkan bahawa UMNO sebagai pencetus huru hara dan tidak menghormati demokrasi dan kebebasan berpolitik di negara ini. Pepatah mengatakan, ikut nafsu lesu, ikut rasa binasa dan kepada Mohd Zaim Minda Rakyat ucapkan syabas kerana bertindak 'sedar' selepas itu kerana tidak membuat laporan polis.