SAYA SANGGUP PERANG
TERHADAP PARTI PERALAT AGAMA ISLAM, KATA MAHATHIR
ALOR SETAR, 30 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir hari ini berkata
beliau sanggup berperang dengan mereka yang memperalatkan agama Islam untuk
kepentingan politik.
Perdana Menteri berkata beliau tidak rela membenarkan pihak tertentu
peralatkan agama Islam untuk memancing undi dan mendirikan kerajaan.
"Mereka tidak boleh diberi kejayaan (dalam pilihan raya). Kalau saya
terpaksa berperang (dengan mereka) saya akan lakukannya.
"Tujuannya adalah untuk mempertahankan agama kita yang suci kerana
penganut agama Islam di negara ini adalah orang Melayu," katanya semasa
berucap pada majlis perjumpaan dengan imam dan pegawai masjid seluruh Kedah di
Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid dan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman.
Dr Mahathir berkata selagi beliau adalah pemimpin negara ini beliau
bertanggungjawab untuk mempertahankan agama dan bangsa dan menghapuskan unsur
yang boleh memecahbelahkan pepaduan orang Melayu.
Semasa menyampaikan ucapan, Dr Mahathir sebak apabila menceritakan
pengalamannya sewaktu menyaksikan satu kejadian terhadap seorang tua semasa
negara di bawah pemerintahan Jepun.
Ketika menceritakan peristiwa terhadap lelaki tua Melayu itu, beliau berkata
seorang askar Jepun telah menendang lelaki yang sedang menunggang basikal itu
hanya kerana dia tidak turun semasa lagu kebangsaan (Jepun) dimainkan.
Selepas menceritakan peristiwa itu, beliau kelihatan sebak dan terdiam
kira-kira seminit. Dr Mahathir kemudian meneguk air yang disediakan di
hadapannya, mungkin untuk menenangkan dirinya.
Hadirin yang berjumlah kira-kira 3,000 orang bagaikan memahami perasaan
beliau, lalu memberikan tepukan semangat untuk Perdana Menteri meneruskan
ucapannya.
Dr Mahathir kemudiannya menyambung ucapannya.
Beliau mengambil masa satu jam semasa pertemuan itu untuk menerangkan tentang
perjuangan bagi mencapai kemerdekaan dan tentangan dan cabaran yang dihadapi
untuk mempertahankan kemerdekaan.
Perdana Menteri berkata adalah tidak mustahil negara dijajah semula, selepas
mencapai kemerdekaan selama 42 tahun.
Tetapi, katanya, kali ini penjajahan bukan dalam bentuk menghantar angkatan
tentera menawan sesebuah negara tetapi sebaliknya adalah dengan menguasai
ekonomi negara itu.
Menurut beliau ada syarikat besar dari luar negara yang menawar untuk membeli
keseluruhan ekuiti Proton.
Mereka memperkecilkan kemampuan kita dalam industri itu dengan menyatakan
bahawa industri kereta memerlukan belanja yang banyak di samping itu mereka
dapat menawarkan harga kereta yang lebih murah.
"Sekiranya mereka mengambil alih Proton dan syarikat besar yang lain,
mudahlah mereka menguasai ekonomi kita sementara rakyat negara ini tidak akan
mempunyai kuasa lagi dalam menentukan nasib ekonomi negara.
"Adakah betul mereka dapat menawarkan kereta dengan harga yang murah
sedangkan matlamat mereka adalah keuntungan serta tidak pernah memikirkan
nasib rakyat negara ini," tegasnya.
Beliau berkata kerajaan menolak daripada menerima bantuan Dana Kewangan
Antarabangsa (IMF) kerana tidak mahu kepentingan negara dan ekonomi negara
terjejas, lebih-lebih lagi terhadap orang Melayu.
Beliau berkata masih banyak negara di dunia ini yang masih dibelenggu dengan
penjajahan ekonomi walaupun negara berkenaan telah merdeka dari penjajahan
berbentuk penaklukan negara.
"Kita sepatutnya bersyukur kerana kita masih mampu mempertahankan
kemerdekaan dengan merayakan sambutan yang ke-42 esok dan hidup aman
damai," kata Perdana Menteri. -- BERNAMA