Mengapa Semuanya Milik PKNP

31 Ogos, 1999 - Ipoh merupakan bandaraya yang ketiga selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Taraf bandaraya yang diterima melambangkan kepesatan penduduknya, sekaligus mencerminkan bahawa Ipoh mendapat tempat kerana kegiatan ekonominya yang pesat.

Namun apa yang sebenarnya berlaku tidaklah sedemikian kerana Ipoh lebih mirip kepada bandaraya kediaman dan pusat hiburan, bukannya pusat ekonomi, atau melahirkan gedung membeli belah yang terkemuka di Malaysia. Bangunan yang menjadi mega di Ipoh hanyalah beberapa buah hotel seperti Excelsior, Syuen, Casaurina, Heritage dan yang terbaru ialah Hill City.

Umpamanya di Jalan Tambun Ipoh, bermula dari kediaman rasmi MB Ramli Marcos, selain Ipoh Specialist Centre dan Sekolah (Agama) Perempuan Ta'ayah hampir kesemua tanah di sepanjang Jalan Tambun sama kiri dan kanan jalan merupakan kediaman setelah ditolak Taman Budaya, Perpustakaan Negeri, Hotel Heritage, tanah perkuburan Cina, Bangunan Pusat Latihan Kakitangan Awam dan Tambun Inn.

Amat menyedihkan apabila rumah kediaman kakitangan kerajaan yang kini terpencil di tengah bandaraya tidak lagi diselenggara dan hampir ke semuanya diarah berpindah 'kununnya' tempat tersebut akan dimajukan. Apa yang berlaku hampir setiap ruang yang kosong dalam bandaraya Ipoh tidak boleh dipohon oleh sesiapa, kerana menurut Pejabat Tanah dan Galian tanah-tanah tersebut sudah diwartakan menjadi milik PKNP (Perampas Kekayaan Negeri Perak).

Satu persoalan timbul di kalangan masyarakat korporat dan rakyat negeri ini, mengapa semuanya menjadi milik PKNP? Apakah kuasa yang memberikan kelebihan kepada badan separuh kerajaan separuh swasta itu melangsai hampir ke semua tanah-tanah yang kosong dalam bandaraya Ipoh, yang dahulunya adalah milik tanah kerajaan.

Sekali lagi kepada rakyat amalan nepotisme dan kronisme mengatasi segala-galanya. Kerajaan BN telah menggadai tanah kerajaan yang kebanyakkan dahulu merupakan Tanah Simpanan Melayu (TSM) kepada 'lanun negeri' iaitu PKNP dan kroni-kroninya.

MINDA RAKYAT