Amaran keras dari Pusat jika laksana Hudud

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjawab tuduhan yang mengatakan hudud tidak dilaksanakan di Kelantan disebabkan beliau berasa takut dengan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menjelaskan, kerajaan Kelantan mendapat amaran keras daripada kerajaan Pusat sekiranya Kelantan menjalankan hukuman hudud seperti tindakan yang pernah dilakukan dahulu (Mageran) iaitu menggantung semua perlembagaan.

Menurutnya, dengan kebijaksanaan para ulama ketika itu tidak melaksanakan hudud tetapi mengubah banyak perubahan dan ianya telah memberi kejayaan kepada Kelantan.

"Antara hikmah tidak dijalankan hudud setiap minggu wartawan dari luar negara datang bertemu dengan saya dan banyak jawapan yang diberi menyebabkan Islam tersebar di luar negara," katanya.

Beliau berkata, jika terdapat orang yang boleh mengkaji masalah ekonomi, ketenteraan, perubatan mengapa mereka tidak cuba untuk mengkaji masalah Islam.

Katanya, hudud tidak dijalankan di Kelantan bukan kerana takut pada sesiapa tetapi PAS Kelantan bergantung dengan kaedah yang cukup bijak untuk menangani permasalahan tersebut.