Mengundi Umno itu haram - Nik Aziz

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, jika benar Umno akan melantik beliau menjadi mufti pertama negeri Kelantan, fatwa pertama yang dikeluarkan ialah - mengundi Umno itu haram.

Berucap di satu majlis dialog Muslimat dengan Menteri Besar Kelantan dan Prof. Emeritus Shahnon Ahmad baru-baru ini, beliau berkata, sebenarnya Umno sudah tidak ada isu untuk terus mengkritik kerajaan negeri Kelantan.

Majlis dialog itu dipengerusikan oleh Dr. Lo' Lo' Mohd. Ghazali dan dianjurkan Dewan Muslimat PAS Pusat dan Unit Amal Nisa' Wal Banat Pusat.

Selain itu Menteri Besar menjelaskan, cara untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negeri Kelantan adalah dengan menggunakan sistem Islam dalam segala urusan negara.

Katanya, memerintah cara Islam merupakan satu perkara paling senang kerana mempunyai kitab panduan iaitu al-Qur'an dan peguam negara iaitu Rasulullah, berbeza dengan corak pemerintah BN/Umno yang mengikut fikiran manusia.