SPR DIGESA MANSUHKAN UNDI POS

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memansuhkan undi pos bagi mempastikan ketelusan dan kebersihan pilihan raya akan datang.

Laksamana Madya (B) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Mohamad Shariff Ishak berkata amalan atau sistem undi pos kini tidak relevan berdasarkan keadaan keselamatan di negara ini kerana ia boleh disalah gunakan oleh orang-orang tertentu.

"Keadaan negara kini sudah tidak memerlukan undi pos kerana askar kini sudah tidak ditempatkan di kawasan terpencil dan sekiranya mereka ditugaskan di udara atau laut, mereka boleh dibawa ke pengkalan semasa hari pengundian dilakukan.

Mohamad Shariff berkata demikian selaku penceramah semasa forum pemantauan pilihan raya anjuran Pertubuhan Kebajikan Budi Malaysia (Budi) ke arah pilihan raya yang bebas dan saksama dengan topik yang dibincangkan ialah "Suatu penilaian undang-undang dan amalan pilihan raya".

Selain Mohamad Shariff, turut menyertai forum itu ialah Pengerusi Budi, Kamar Ainiah Kamaruzaman dan bekas hakim mahkamah agung yang juga ahli pemantau pilihana raya antarabangsa di Sri Lanka Tan Sri Harun Hashim.

Forum itu dipengerusikan oleh bekas pensyarah fakulti undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Prof Salleh Buang.

Terdapat 235,000 pengundi pos terdiri daripada anggota tentera, polis serta pelajar dan kakitangan kerajaan di luar negara yang layak mengundi jika pilihan raya diadakan tahun ini.

Harun mencadangkan SPR menyeliakan proses pengundian semasa ia berjalan. Sekiranya penyeliaan dan pemantauan tidak dapat dilakukan di kem-kem tentera ia boleh dibuat di luar dengan membawa anggota tentera mengundi di tempat-tempat tertentu.

"Itu satu cara mempastikan pengundian pilihan raya telus dan orang luar terutamanya media asing tidak dapat mempertikaikan proses pilihan raya di negara kita," katanya.

Kamar pula menyentuh mengenai mengapa isteri anggota tentera dan polis turut diberi pengecualian untuk melakukan undi pos sedangkan mereka ini boleh mengundi seperti orang awam di tempat-tempat yang disediakan.

Walaupun SPR telah mengumumkan akan menempatkan pegawai-pegawai SPR untuk hadir semasa penyerahan sampul undi pos di kem-kem tentera atau ibu pejabat polis daerah seluruh negara, itu tidak dapat mempastikan kebersihan pengundian kerana tiada saksi yang memantau pengundi semasa pengundian dilakukan, kata Kamar.

Beliau juga memaklumkan bahawa PEMANTAU dijangka menyerahkan memorandum kepada SPR di pejabat SPR, pagi ini, yang antara lain mengandungi cadangan dan perbincangan dalam forum malam tadi.

Antara NGO yang diwakili dalam PEMANTAU ialah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pergerakan Antarabangsa bagi Keadilan Dunia (JUST), Aliran, Tenaganita, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Majlis Peguam Malaysia dan ADIL.

Pilihan raya umum kali ini ialah yang ke-10. Tempoh parlimen sekarang akan berakhir pada 6 Jun tahun depan. -- BERNAMA