ADUN Manjoi Tidak Relevan

5 September, 1999 - Benarlah kata-kata saudara Saifuddin Nasution sewaktu memberikan ceramah politiknya di Desa Chemor Sinaran minggu lalu, bahawa ADUN Manjoi iaitu Nazri Ismail seorang yang baik dan berhemah tinggi.

Namun di sebalik peribadi yang mulia itu terkandung 'racun' yang maha bisa sedang menular dan membunuh rakyat di bawah kawasan ADUN beliau. Umpamanya, suatu ketika dua bulan lalu, Pejabat Tanah Kinta, Ipoh mengeluarkan notis kepada penduduk setinggan Jelapang Jaya kerana menggantikan tapak rumah mereka di kawasan lain.

Akibat notis dua minggu itu, penduduk kerugian rumah yang sudah dibina sekian lama dan perbelanjaan yang tidak kurang ribuan ringgit juga nilainya. Beliau gagal untuk membantu rakyat setinggan mendapatkan pampasan bagi menutup kerugian yang dialami. Beliau juga gagal memujuk Pejabat Tanah Kinta untuk melanjutkan notisnya sehingga semua persiapan dapat dibuat bagi perpindahan itu.

Usahkan mahu membela nasib penduduk setinggan, lebih malang lagi nasib penduduk Desa Chemor Sinaran yang mahu dibuka laluan jalan terhadap 'divider' yang menghalang laluan keluar masuk ke taman perumahan mereka seluas 12 kaki itu sahaja pun memakan masa 3 bulan lamanya.

Di akhir perundingan itu JKR Negeri Perak enggan membenarkan pembukaan laluan keluar masuk tersebut yang kini mendedahkan penduduk Desa Chemor Sinaran kepada bahaya kemalangan kerana terpaksa membuat pusingan 'U' keluar sejauh 15 meter dan pusing 'U' masok sejauh 350 meter. Hendak diharap kepada Nazri Ismail, maka banyaklah jiwa yang menderita akibat kegagalannya membela nasib rakyat!

MINDA RAKYAT