Mengapa Mahu Berdebat Selepas Waktunya?

5 September, 1999 - Perbahasan dan perdebatan melalui akhbar tempatan samada yang dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak Jamal Nasir Rashdi, mahupun oleh Ketua Perhubungan UMNO Negeri Perak, Ramli Marcos merupakan 'debat' yang melepasi waktu yang dibenarkan.

Tiada isu hendak memperjelaskan kekusutan, akibat kegagalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak itu, merangkap ADUN Lubuk Merbau, hadir di satu majlis debat kemerdekaan di Kg. Paya Renggam, Padang Rengas, minggu lalu. Kira-kira 5,000 orang hadir menyaksikan debat yang diatur untuk memperjelaskan kepada rakyat tempatan berhubung dakwaan PAS memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.

Tajuk debat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah Ke Arah Penyatuan Umat Melayu. Bagaimana pun rakyat tempat melahirkan kekecewaan mereka terhadap kegagalan Jamal Nasir Rashdi yang disifatkan oleh mereka sebagai 'pengecut' dan dayus kerana berani mencabar tetapi tidak berani berhadapan dengan rakyat.

Jika debat malam tersebut berlangsung, ia merupakan debat perdana kali ketiga yang diadakan dalam sejarah politik negara ini setelah debat pertama diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 15 Jun 1999 dan beberapa minggu selepas itu diikuti oleh debat di Universiti Malaya yang menyaksikan bahawa wakil UMNO tidak mampu membahaskan kebenaran kerana kezaliman yang begitu menebal dalam perjuangan mereka setelah memerintah 42 tahun di negara ini.

MINDA RAKYAT