Komando UMNO Teruskan Keganasan

6 September, 1999

Tindakan seorang anggota komando UMNO memukul seorang pengiring kepada isteri peguam yang disebut sebagai calon Parti Alternatif di Parlimen Kuala Kangsar dalam pilihanraya umum akan datang dianggap sebagai keterlaluan.

Sudah beberapa kali pencabulan dilakukan  oleh UMNO terhadap sejarah politik negara ini, bermula dengan rusuhan 13 Mei 1969. Dalam kejadian kali ini minggu lalu, anggota komando UMNO yang dikenali dengan nama Mohd Noor telah bertindak memukul seorang pemuda kerana terlalu marahkan siri ceramah ugama yang diadakan di Kg. Ara Panjang, Manong, Kuala Kangsar.

Laporan polis sudah dibuat ke Balai Polis Manong dan tindakan mahkamah sedang diambil oleh peguam berkenaan iaitu Hj. Asmoni. Dalam tuntutannya, pemuda yang dipukul itu menuntut saman malu sebanyak RM100,000.

ADUN Manong, Ramli Zahari apabila diberitahu menafikan beliau mengarahkan tindakan yang dibuat oleh komando UMNO itu. Kejadian ini merupakan pengajaran bagi anggota komando UMNO bahawa apabila bertemu kesulitan, mereka tidak akan dibela oleh sesiapa walau pun ketua mereka dan mereka diarah untuk berbuat kekacauan dan provokasi terhadap parti lawan.

Kes ini sedang menunggu tarikh perbicaraan.

MINDA RAKYAT