Pemuda PAS Kejutkan Ramli Zahari

6 September, 1999

Kejadian pagi 31 Ogos, 1999 merupakan antara hari yang malang bagi UMNO dan exco pertanian negeri Perak, Ramly Zahari. Beliau telah diarahkan untuk menyediakan satu pasukan bermotor (vespa) bagi menyertai konvoi hari kebangsaan dari Kuala Kangsar ke Ipoh. Sebanyak 2,000 buah vespa telah mendaftarkan nama mereka dan menerima wang RM30 setiap seorang bagi penyertaan tersebut.

Pada pagi 31 Ogos, 1999 sejumlah kira-kira 2,000 buah vespa sudah menunggu di kawasan Istana Chandan, Kuala Kangsar, untuk menyertai konvoi DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi mencemar duli meraikan hari kebangsaan bersama rakyat di Dataran Stesyen Keretapi, Ipoh.

Sebaik sahaja persediaan untuk memulakan konvoi itu siap sedia untuk bergerak, ke semua pemuda-pemuda bermotosikal itu mengeluarkan 'sticker' PAS berukuran 1 inci X 1 inci dan menampalkannya ke motosikal masing-masing. Ada di kalangan mereka juga mengeluarkan bendera PAS untuk dilekatkan di matosikal masing-masing.

Perkara ini dilakukan di hadapan Ramly Zahari sendiri dan akhirnya konvoi itu dibatalkan. Peristiwa ini adalah secebis kisah benar sebagai 'mainan' dan 'gurauan' penduduk Kuala Kangsar terhadap pemimpin kerajaan BN itu yang mereka sifatkan sudah tidak relevan buat mereka.

Ini juga menjadi bukti bahawa pemuda kampong majoritinya sudah bersedia menjadi pemuda harapan BA untuk menumbangkan UMNO di negeri ini.

MINDA RAKYAT