UMNO Pergunakan Ustaz Ghazali Habis-habisan!!

7 September, 1999

Ustaz Ghazali bin Haji Ahmad, bekas Timbalan Pesuruh Jaya PAS Terengganu merangkap bekas Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu dan bekas AJK Dewan Ulama PAS Pusat telah dipergunakan oleh UMNO sehabis-habisnya untuk memerangi PAS dan perjuangan Islam di negara ini.

Beberapa siri ceramah beliau di Lembah Kinta sepanjang dua minggu lalu nampaknya bukan sahaja tidak berjaya menarik rakyat malahan gagal untuk menarik ahli UMNO sendiri bagi menggamatkan suasana dan mendedahkan kelemahan PAS. Umpamanya, pada 28 Ogos, lalu di Dewan Serbaguna Kg. Seri Kinta, Ipoh, majlis ceramah anjuran Bahagian Ipoh Timur itu berjalan lesu dengan kehadiran tidak lebih 40 orang.

Di waktu yang sama biarpun keadaan hujan yang sederhana turun, ceramah anjuran PAS yang diadakan kira-kira 1,500 meter dari tempat tersebut iaitu di Taman Seri Sayang, Pasir Puteh meraih kehadiran sekitar 500 orang yang tidak berganjak meskipun di dalam hujan.

Kutipan derma jihad oleh PAS di sesi ceramah itu juga membanggakan kerana mencapai kutipan lebih RM800 yang tidak dijangkakan kerana kehadiran yang sedikit dan dalam suasana hujan yang kesejukan.

Demikianlah jika hendak dibandingkan di antara siri ceramah UMNO dan PAS. Biar bagaimana suasana selesa yang diujudkan namun tetap tidak berjaya menarik pendengar ke ceramah UMNO.

MINDA RAKYAT