MAHATHIR ULANGI SERANGAN KE ATAS ULAMA

7 September, 1999

PM Mahathir Mohamad mengulangi kata cacian dan penghinaan para ulama berikutan dakwaannya yang mengatakan golongan ulama menggunakan mimbar masjid untuk menyebar pembohongan kepada umat Islam bertujuan menanamkan rasa kebencian orang ramai terhadap kerajaan dan Umno.

Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan bersama pemimpin UMNO di Kuantan. Mahathir juga menghina PAS dengan dakwaan para penyokong parti itu cuba menimbulkan rasa kebencian terhadap kerajaan BN untuk mencari sokongan kepada parti itu.

Mahathir mendakwa pembohongan oleh ulama 'kununnya' ada lebih banyak gereja daripada masjid di Melaka adalah berbahaya kerana ia boleh menyebabkan orang bukan Islam merasa diri mereka terancam dan boleh mencetuskan rusuhan.

Mahathir mendakwa UMNO suka kepada keamanan dan ketenteraman dalam negara, sebaliknya PAS suka kepada permusuhan antara orang Islam sesama orang Islam dan orang Islam dan bukan Islam. Seterusnya Mahathir menafikan orang yang didakwanya bercakap bohong di atas mimbar masjid layak dipanggil ulama kerana tidak menghormati masjid dan jemaah masjid.

Kerajaan menghormati ulama katanya, tetapi bukan semua yang mendakwa diri sebagai ulama adalah ulama kerana ada juga penipu yang mengaku sebagai ulama. -BERNAMA

MINDA RAKYAT