Ruang lingkup perbicaraan saya kali ini cuba mengupas motto di atas dan bagaimana kita menangkis 'taghut' dan bidaah dalam motto tersebut iaitu, UMNO TONGGAK NEGARA, PENYELAMAT BANGSA'.
Namun saya percayai ramai di antara kita lebih tahu dari saya bagaimana untuk menangkis bidaah ini. Di ruang sehina ini, marilah kita berkongsi ide dan pandangan dan saya akan ilhamkan pendapat itu dari beberapa petikan ayat suci Al-Quran sebagai pedoman.
Perbicaraan saya akan menumpukan terlebih dahulu kepada 'siapakah penyelamat bangsa?'. Allah juga mencabar manusia siapakah yang mampu menjadi penyelamat umat manusia dari segala bencana. Dalam surah Al An'Aam Allah berfirman:
"Katakanlah: 'Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepadaNya, dengan berendah diri, dengan suara yang lembut', (dengan menyatakan):'Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami dari (bencana ini) tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur'." -Al An'Anm:63
Allah berfirman lagi, maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?" -AsShaff:10
Sebelum kita bicarakan 'penyelamat' itu marilah kita renungkan dalam kehidupan kita semasa bahawa telah terjadi berbagai kerosakan dan malapetaka akibat gagal mencari penyelamat sebenar dan kegagalan kita melaksanakan tanggungjawab kita terhadap Allah.
Allah berfirman maksudnya:
"Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut disebabkan (perbuatan) tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian (dari) akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)" -Ar Ruum:41
Akibat kegagalan kita melaksanakan hukum hakam dan peraturan Allah yang mencangkupi segala aspek kehidupan kita seperti ekonomi, sosial dan politik sebagaimana anjuran Allah yang termaktub di dalam Al-Quran, maka Allah menimpakan bala bencana seperti yang kita lalui hari ini.
Antara bencana itu ialah kemelesetan ekonomi yang mungkin lahir dari keengganan kita membayar zakat. Kegawatan sosial kerana kita menurutkan hawa nafsu dengan mendirikan pusat maksiat, perjudian dan pelacuran. Akhirnya negara kita mengalami kegawatan politik akibat kita terlalu angkuh dengan diri sendiri. Apa yang tidak boleh bagi kita, semuanya boleh. Hinggakan hendak ditiduri kita pun boleh. Dimanakah maruah kita sebagai umat Islam. Dimanakah sifat rendah diri dan memikul amanah kita sebagai pemimpin umat Islam?
Namun sebagai peluang untuk kita kembali kepada Allah dan melaksanakan titah perintahnya, Allah menjauhkan bencana itu sesudah mendatangkannya, hanya untuk menilai sejauhmana penerimaan manusia terhadap agama Allah. Justeru itu kita lihat apabila Allah jadikan satu bala bencana, kemudiaan Allah akan tarik kembali dan memulihkan suasana.
Allah berfirman, maksudnya:
"Katakanlah:'Allah menyelamatkan kamu dari bencana itu dan segala macam kesusahan, kemudian kamu kembali mempersekutukanNya". -Al An'Aam:64
Dalam ayat lain Allah menjelaskan:
"Dan apabila mereka dilamun ombak (kesusahan) yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya, maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai kedaratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada orang yang mengingkari ayat-ayat Kami, selain orang yang tidak setia dan ingkar" -Luqman:32
Demi memberikan peluang supaya manusia itu insaf dan kembali ke jalan Allah dengan melaksanakan hukum Allah yang jelas menyelesaikan segala permasalahan yang kita hadapi samada di sudut politik, sosial dan ekonomi, maka Allah menarik balik bala bencana yang ditimpakan kepada kita. Ada kemungkinan kegawatan ekonomi kita juga akan pulih. Cuma itu adalah peluang buat kita kembali kepada Allah dan melaksanakan peraturannya.
Namun kepada sesetengah manusia, mereka tidak melihat bencana sebagai satu peringatan Allah. Mereka berkata bencana hanyalah fenomena alam yang biasa terjadi. Kemelesetan ekonomi adalah angkara 'penggelap mata wang asing' semata-mata. Malapetaka yang menimpa Turki adalah berupa amaran Allah bukan sahaja terhadap umat Islam di Turki, malahan di seluruh dunia supaya jangan memperlekehkan hukum Allah dan jangan mempersendakan hukum hudud.
Jika selepas amaran ini kita masih angkuh dengan pendirian kita, kita boleh dan mampu mengatasi segala permasalahan tanpa merujuk kepada Al-Quran dan hadis, maka tidak mustahil Allah akan menimpakan bala bencana yang lebih buruk terhadap umat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia, nauzubillah!
Kembali kepada perbicaraan kita iaitu siapakah penyelamat bangsa?
Beberapa huraian di atas sudah menjelaskan kepada kita bahawa sebaik-baik penyelamat ialah Allah. Justeru itu umat Islam diseru menolak propaganda yang mengatakan UMNO adalah penyelamat bangsa!
Tidak ada rekod dalam sejarah politik negara bahawa UMNO penyelamat bangsa. Malahan semenjak 42 tahun berkuasa UMNOlah 'perosak bangsa' dan para pemimpin UMNO menjadi ulat kepada kerosakan itu.
Apakah dengan melaksanakan segala macam pembangunan dan jalan yang hebat dan jambatan terpanjang serta bangunan tertinggi, maka UMNO tidak layak untuk dianggap 'perosak bangsa' dan 'pelingkup negara'?
Dalam hubungan ini Allah menegaskan:
"Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi, lalu memperhatikan betapa kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu adalah lebih hebat kekuatannya dan lebih banyak bekas-bekas mereka (dari segala macam pembangunan dan istana), maka Allah mengazab mereka disebabka dosa-dosa mereka. Dan sekali-kali mereka tidak mempunyai seorang pelindung dari azab Allah". -AlMukminun:21
Justeru itu sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya, maka kita perlu kembali menghayati Islam secara syumul dalam kehidupan seharian kita. UMNO sebagai 'penyelamat bangsa' adalah bidaah dan karut semata-mata. Propaganda itu lahir dari orang Islam yang sesat dan boleh menyesatkan orang lain.
Sebaik-baik pelindung dan penyelamat bagi umat manusia ialah sebagaimana Allah terangkan dalam firmannya bermaksud:
"(iaitu) Hari (ketika) kamu berpaling ke belakang, tidak ada bagimu seorang pun yang menyelamatkan kamu dari (azab) Allah, dan siapa yang disesatkan Allah nescaya tidak ada baginya seorang pun yang akan memberikan petunjuk" -AlMukminun:33
Justeru itu kita mesti menolak selain penyelamat dan pelindung, melainkan Allah dan pimpinan kita Muhammad s.a.w. Jangan kita percaya dan terpedaya dengan segala macam propaganda sesat dan bidaah yang mengatakan bahawa UMNOlah Penyelamat Bangsa! bersambung...