KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan adik angkatnya adalah palsu dan sengaja direka, seorang peguam
memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Christopher Fernando berkata ini boleh dilihat daripada cara pendakwaan kerap
meminda tarikh dalam pertuduhan itu, yang pada mulanya adalah "satu malam
pada Mei, 1994" kepada "satu malam pada Mei, 1992" dan kemudian
kepada "satu malam antara Januari dan Mac, 1993."
Fernando berkata pindaan-pindaan itu membuktikan pendapat pembelaan bahawa
tuduhan itu sengaja direkakan.
Fernando, peguam utama bekas perdana menteri itu, berkata demikian dalam
penghujahannya pada penutup kes pendakwaan dalam perbicaraan itu, yang
memasuki hari ke-49 hari ini.
Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, dituduh
meliwat Azizan di pangsapuri Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk,
Bangsar di sini, pada pukul 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.
Sukma, seorang ahli perniagaan, juga menghadapi tuduhan bersuhabat dengan
Anwar melakukan kesalahan itu di tempat dan masa yang sama.
Fernando berkata kali pertama tuduhan itu dipinda ialah selepas Azizan, saksi
utama pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Anwar bahawa
beliau tidak lagi diliwat selepas September 1992.
Fernando berkata berikutan keterangan Azizan, pendakwaan tidak mempunyai
pilihan selain meminda tuduhan itu.
Bagaimanapun, Fernando berkata pendakwaan memilih Mei 1992 sebagai tarikh itu
kerana mereka mahukan "masa" dan mereka tidak mahu memilih September
1992.
Peguam itu berkata Azizan juga memberi keterangan bahawa beliau tidak
memberitahu polis mengenai dirinya diliwat Anwar dan Sukma pada "satu
malam pada Mei 1992."
"Jika Azizan tidak memberitahu polis, siapa yang yang memalsukan
keterangan ini?" tanya Fernando.
"Ini adalah kes liwat dan tiada saksi yang menyaksikan perlakuan liwat
itu. Satu-satunya bukti sewajarnya perlu diperolehi daripada Azizan dan beliau
telah menyatakan bahawa beliau tidak memberitahu polis (mengenai Mei
1992)," kata Fernando.
Fernando berkata pendakwaan telah mengakui pindaan kedua dibuat selepas
mendapati keterangan daripada pembelaan bahawa Tivoli Villa, tempat perlakuan
liwat itu didakwa diadakan, masih lagi dalam pembinaan pada 1992.
Beliau berkata pembelaan sungguh bermurah hati untuk memberitahu pendakwaan
mengenai perkara itu dan menyelamatkan mereka daripada "rasa malu"
jika kes itu diteruskan berdasarkan pindaan pertama yang menyatakan kesalahan
itu dilakukan pada 1992.
Bagaimanapun, Fernando bersetuju dengan Hakim Arifin Jaka bahawa pembelaan
sepatutnya merahsiakan mengenai ketidakwujudan tempat liwat itu pada 1992.
"Adakah penyiasatan yang menyeluruh dilakukan sebelum tuduhan serius ini
dibuat terhadap kedua-dua tertuduh? Jelas sekali bahawa penyiasatan itu dibuat
dengan tidak rapi dan cuai, atau mungkin tiada penyiasatan langsung dibuat.
"Ini sama seperti kehilangan gajah di padang pasir," katanya,
menyebabkan hadirin di mahkamah ketawa.
"Ini adalah keadaan yang sangat menggelikan hati, untuk menuduh dua orang
melakukan kesalahan itu di tempat yang tidak wujud," kata Fernando.
"Oleh itu, untuk perkara itu sahaja, mahkamah boleh melihat bahawa mereka
(pendakwaan) tidak cukup serius untuk mendapatkan keadilan. Daripada keadaan
sekitar dan keterangan yang diperolehi di mahkamah ini, saya fikir keadilan
adalah perkara terakhir yang difikirkan oleh mereka yang membuat tuduhan
terhadap Datuk Seri Anwar dan Sukma," katanya.
Fernando berkata pendakwaan juga gagal menunjukkan pembelaan alibi Anwar dan
Sukma adalah palsu walaupun Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu
mahkamah bahawa mereka mempunyai rekod pergerakan Anwar mulai 1992 hingga
1997.
"Saya katakan bahawa ini adalah satu kenyataan yang berani dibuat tetapi
tidak berwibawa. Jika pergerakan Datuk Seri Anwar telah dikesan, telah diawasi
begitu dekat, mengapa tuduhan itu dibuat dengan cara yang kabur?"
katanya.
Fernando berkata jika pendakwaan mempunyai rekod seperti yang didakwanya,
mereka sepatutnya boleh mengesan sekuarng-kurangnya masa atau tarikh Anwar
berada di Tivoli Villa.
Fernando berkata pendakwaan membuat dakwaan kosong dan tidak mengetahui
langsung pergerakan Anwar, dan membuat tekaan sejak dari mula tuduhan itu
dibuat.
Beliau berkata pendakwaan sepatutnya mendapatkan bukti untuk menunjukkan
bahawa Anwar dan Sukma berada di Tivoli Villa sekurang-kurangnya satu malam
dalam masa tiga bulan itu seperti yang tercatat dalam pertuduhan ke atas
mereka.
"Di sini, tiada satu pun bukti yang menunjukkan bahawa kedua-dua tertuduh
berada di Tivoli Villa pada bila-bila masa, semasa tempoh yang dinyatakan
dalam pertuduhan itu. Ini adalah satu lagi persoalan penting yang masih belum
dijawab," kata Fernando.
Beliau menyifatkan kes pendakwaan itu penuh dengan keraguan dan
ketidaktentuan.
"Akibatnya, kita mempunyai tuduhan yang kabur, tidak konsisten dan penuh
dengan keraguan," katanya.
Fernando berkata satu lagi perkara penting yang harus dipertimbangkan oleh
mahkamah ialah Azizan, dalam keterangannya, dengan berat hati mengakui bahawa
pegawai penyiasat kes itu, SAC I Musa Hassan, telah memintanya meminda tarikh
insiden itu.
Beliau berkata mahkamah tidak harus menerima keterangan Azizan kerana saksi
itu telah memberikan keterangan yang bercanggah.
Peguam itu juga berkata bahawa pengakuan Sukma, walaupun telah diterima oleh
mahkamah, tidak boleh digunakan untuk mendapatkan pensabitan terhadap Anwar,
kecuali jika ada keterangan yang menyakinkan terhadapnya yang diberikan oleh
saksi lain.
"Satu-satunya keterangan yang mereka ada lemah, tidak teguh, bercanggah
dan meragukan," katanya.
Fernando berkata pendakwaan gagal menghasilkan kes prima facie terhadap Anwar
dan Sukma, dan bukti yang harus ditimbangkan oleh mahkamah haruslah melampaui
keraguan.
Seorang lagi peguam Anwar, Karpal Singh, memberitahu mahkamah sebelum ia
memutuskan sama ada untuk memanggil Anwar dan Sukma untuk memberikan
keterangan mereka, mahkamah perlu memberikan penilaian yang maksimum terhadap
keterangan yang diberikan oleh saksi sepanjang perbicaraan itu.
Karpal Singh berkata tuduhan melakukan liwat memang mudah dibuat tetapi sukar
dibuktikan, dan oleh itu keterangan di hadapan mahkamah perlu benar-benar
menyakinkan untuk mensabitkan orang yang dituduh.
Beliau juga berkata perlu ada sokongan terjadap keterangan yang menyakinkan
itu dalam usaha mewujudkan kes liwat.
"Jika orang yang dituduh memilih untuk mendiamkan diri, oleh itu
keterangan itu perlu mempunyai kualiti kesan yang akan membuatkan mahkamah
mesti mensabitkannya," kata Karpal Singh.
Menurutnya bagi kes ini, terdapat jurang dalam kes pendakwaan selepas mereka
tidak memanggil saksi penting seperti Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir
Mohamad dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Dr Mahathir perlu dipanggil untuk memberi keterangan memandangkan beliau
adalah orang pertama yang menerima aduan Azizan mengenai kejadian liwat itu
dan Abdul Rahim kerana memberikan kenyataan akhbar pada 1997 bahawa dakwaan
mengenai salahlaku seks Anwar adalah tidak berasas langsung.
Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA
KEMBALI