KENYATAAN MEDIA 10 September 1999

PERCUBAAN MEMBUNUH  KEDUA TERHADAP DATUK SERI ANWAR IBRAHIM : TUBUH SURUHANJAYA BEBAS SIASAT PEMIMPIN UMNO/BN, PDRM, PENJARA DAN SEMUA PIHAK YANG TERBABIT

Dewan Pemuda PAS Pusat melahirkan rasa dukacita dengan percubaan membunuh kali kedua yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak tertentu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan meracun beliau dengan sejenis racun berbisa iaitu arsenik.

Perkara ini didedahkan oleh laporan patologi berdasarkan air kencing Datuk Seri Anwar dari makmal Gribbles Pathology, Melbourne Australia yang menunjukkan bahawa kandungan racun arsenik dalam tubuh beliau 77 kali ganda melampaui tahap biasa.

Kemorosotan kesihatan Datuk Seri Anwar terbukti jelas puncanya adalah kerana diracun.  Datuk Seri Anwar dalam laporan polis pada hari ini telah mengadu kehilangan berat badan (sehingga 13.5 kilogram), keguguran rambut, kebas dan kekeringan kulit akibat kesan racun arsenik. Dalam jangka masa panjang racun ini akan mendatangkan kesan parah dan boleh membawa maut.

Perbuatan jahat dan keji meracun penentang politik oleh para konspirator politik tidak asing dalam dunia ini dan nampaknya para konspirator politik negara kita turut memilih racun arsenik yang amat bisa. Sejarah telah mencatatkan bahawa racun arsenik juga menjadi punca kematian beberapa orang tokoh kenamaan seperti Napolean Bonaparte pada tahun 1821, Rene Dercartes ahli falsafah Perancis yang diracun pada kurun ke 17 dan ramai lagi.

Walaubagaimana pun Dewan Pemuda PAS Pusat tidak berasa terkejut dengan perbuatan jenayah ini. Kita telah menjangka sebaik sahaja Datuk Seri Anwar dipecat dari kerajaan dan Umno, beliau telah diperlakukan dengan sebegitu hina dari segi moral dan jasad hatta nyawa Datuk Seri Anwar ibarat telur di hujung tanduk yang bila-bila masa boleh ditamatkan walaupun dalam jagaan atau tahanan pihak berkuasa yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.

Semasa dalam tahanan lokap polis di Bukit Aman, Datuk Seri Anwar telah dipukul dengan satu pukulan yang boleh mendatangkan maut oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor. Susulan membunuh kali kedua dengan meracun Datuk Seri Anwar ini adalah satu perbuatan jenayah yang serius dan perlu satu tindakan yang amat tegas perlu diambil. Satu perbuatan kebinatangan yang menunjukkan betapa gila dan rakusnya tamak haloba kuasa oleh para konspirator politik yang ingin menamatkan terus nyawa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan dan mendesak Sidang Parlimen khas perlu dibuat untuk membincangkan dan menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas yang ahli-ahlinya dilantik dari kalangan para profesional yang bebas untuk menyiasat percubaan membunuh kali kedua seperti mana Suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar yang dipukul oleh Tan Sri Rahim Noor dalam lokap polis.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga merayu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagai payung negara dan rakyat untuk mengambil tanggungjawab dan mengambil tindakan bagi memastikan rakyat jelata sekalian mendapat perlindungan dari kejahatan dan kezaliman yang berleluasa khususnya jenayah serius percubaan membunuh kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.  DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong  harus menitahkan Sidang Parlimen khas diadakan untuk membincangkan masalah ini.

Suruhanjaya Bebas mesti ditubuhkan segera untuk menyiasat para konspirator politik yang terdiri daripada pemimpin kerajaan dan Umno iaitu Datuk Seri Dr. Mahathir, Datuk seri Abdullah Badawi, Tun Daim Zainuddin, Datuk Megat Junid, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Penjara  serta kuncu-kuncunya sekalian. Mereka semua ini perlu disiasat kerana percubaan membunuh kali pertama dan kedua ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah terjadi semasa beliau di bawah tahanan dan jagaan semua pihak yang disebutkan tadi.

Para konspirator politik ini ingin menamatkan terus nyawa Datuk Seri Anwar kerana semakin lama perbicaran dengan tuduhan-tuduhan palsu, semakin banyak terbongkar kes-kes jahat mereka. Maka jalan paling mudah adalah menamatkan riwayat Datuk Seri Anwar untuk menutup kejahatan mereka. Peguam Negara dan mahkamah sewajarnya menggugurkan dakwaan dan membebaskan Datuk Seri Anwar kerana tiada sebarang  bukti yang boleh disabitkan beliau melakukan kesalahan, jika tidak maka terbuktilah juga Peguam Negara dan hakim-hakim turut sama bersubahat dengan konspirator politik dan turut sama terpalit dosa cuba membunuh Datuk Seri Anwar.

Dr. Mahathir juga diperingatkan supaya tidak berdolak-dalik dan memberi alasan yang sama seperti dahulu iaitu kononnya Datuk Seri Anwar meracun diri beliau sendiri seperti mana beliau memukul diri sendiri. Dr. Mahathir sudah sewajarnya sekarang membubarkan parlimen untuk memberi mandat semula kepada rakyat kerana Dr. Mahathir telah mengkhianati mandat rakyat dan tidak lagi dapat memberi perlindungan keselamatan kepada rakyat.

Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru kepada semua rakyat agar membantah tindakan jahat para konspirator politik dengan mengadakan SOLAT HAJAT di semua masjid dalam negara kita memohon dan mendoakan keselamatan nyawa, rohani dan fizikal Datuk Seri Anwar Ibrahim ke hadrat Allah SWT serta memohon dihukum dan ditunjukkan oleh Allah SWT  pihak yang bertanggungjawab yang cuba membunuh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rakyat harus bertindak segera untuk menamatkan pemerintahan kejam dan zalim ini dengan menolak Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.
 

BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN MEMIMPIN PERUBAHAN
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
e-mel: ketuapemuda@partipas.org