UMNO PERLU SEGERA DIKUBURKAN

11 September, 1999

UMNO perlu segera dikuburkan kerana melakukan penindasan dan kezalimannya terhadap rakyat negara ini, terutama bekas TPM DSAI. Dakwaan PM Mahathir Mohamad bahawa UMNO perlu menjadi sebuah parti politik yang kukuh supaya ia dapat meneruskan usaha memerintah negara secara baik adalah satu helah untuk meneruskan kezaliman dan merompak harta negara sesuka hatinya di masa hadapan.

Rakyat jangan terkeliru dengan ucapan lemah lembut pemimpin sedemikian kerana disebalik kelembutan itu mereka mampu bertukar menjadi 'raksaksa' dan mengganas setiap masa.

Kezaliman yang dilakukan oleh barisan kepimpinan UMNO di bawah kerajaan BN disifatkan oleh golongan bawahan dan majoriti rakyat negara ini sebagai 'melampau' dan keterlaluan.

Pemimpin negara akan mencanangkan 'modal pembangunan' yang tak habis-habis tetapi dalam masa yang sama beratus ribu malahan berjuta daripada rakyat negara ini tidak memiliki rumah sendiri dan perlindungan yang terjamin.

Rakyat perlu menilai semula sumbangan UMNO ke dalam pembangunan negara kerana satu tindakan berbentuk membela akan disertai dengan seratus tindakan menzalimi.

Walau pun benar bandaraya Kuala Lumpur antara yang tercantik di dunia, namun pembangunan yang tidak seimbang melahirkan berbagai masalah yang melanda rakyat seperti penagihan dadah, bohsia, HIV hingga kepada kemelesetan ekonomi dan politik negara ini. Hanya rakyat yang bodoh masih berada dalam UMNO dan menganggap pemimpin tua yang nyayuk itu sebagai 'terulung' dan maju.

PM Mahathir jelas menggunakan Islam sebagai benteng meraih simpati umat Islam negara ini terutama mereka yang memilik tahap pengetahuan agama yang rendah. PM Mahathir seringkali mendakwa UMNO sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan menganggap semua orang Islam itu saudaranya, tetapi dalam masa yang sama mengecam perjuangan Islam yang diterajui oleh PAS yang didakwanya sudah lari jauh daripada asas perjuangan Islam.


KEMBALI