DSWA MAHU 'PERACUN' DISIASAT

10 September, 1999

DSWA, isteri bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan bebas dimulakan untuk mengetahui punca keracunan terhadap suaminya yang didakwa oleh peguam Anwar di Mahkamah Tinggi hari ini.

Beliau berkata spesimen air kencing Anwar telah dikirim untuk dianalisis oleh makmal di Melbourne, Australia pada 18 Ogos. Laporan patologi yang diterima menunjukkan bahawa tahap racun arsenik ialah 230 ug/g, berbanding kadar biasa 3 ug/g, atau hampir 80 kali lebih tinggi daripada tahap biasa.

Justeru itu DSAI dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras untuk pemeriksaan dan akan berada di sana sehingga doktor mengesahkan dia boleh menghadiri perbicaraan kes liwatnya.

Sementara itu, DSAI meminta agar jaminan tegas diberikan oleh semua pihak bertanggungjawab bagi menyiasat perkara itu.

"Saya memerlukan jaminan tegas semua pihak bertanggungjawab termasuk pimpinan politik kerajaan untuk menyiasat segera dengan rapi, tidak berselindung, dan tidak cuba menutup perkara itu dengan sewenang-wenang", kata Anwar dalam laporan polisnya yang dibuat di dalam bilik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 11.45 pagi ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah menangguhkan perbicaraan selepas diberitahu oleh peguam Anwar, Karpal Singh, bahawa Anwar disyaki menghidapi keracunan arsenik.

"Punca keracunan perlu dikenalpasti, siapa orang atau kelompok yang bertanggungjawab. Saya harap tidak ada helah yang diberikan untuk melengah tindakan atau berdolak dalik," kata DSWA.

Anwar berkata beliau mengalami beberapa kesan yang dipastikan akibat keracuan itu seperti kekurangan berat badan, keguguran rambut, kebas dan kekeringan kulit.

"Para doktor memaklumkan bahawa kesan parah mungkin dirasakan setelah beberapa ketika secara beransur tanpa disedari," katanya. -- BERNAMA


KEMBALI