1 dari setiap 200 orang dewasa Malaysia ada HIV

11 September, 1999

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seorang daripada setiap 200, atau 0.5 peratus, orang dewasa Malaysia menghidap HIV, kata presiden Majlis Aids Malaysia Datin Paduka Marina Mahathir.

"Ini bererti jika kita mempunyai 10 juta orang dewasa, kira-kira 50,000 telah dijangkiti HIV," katanya kepada pemberita dalam Kongres Antarabangsa mengenai Aids di Asia dan Pasifik (Icaap) kelima di sini.

"Bertambahnya kes jangkitan HIV daripada 10,000 dalam 1993 kepada 50,000 pada 1997 di negara ini amat mencemaskan," katanya.

WHO juga meramalkan menjelang akhir tahun ini, kira-kira 170,000 penduduk Malaysia akan dijangkiti HIV, virus yang boleh mengakibatkan Aids, katanya.

Datin Paduka Marina juga berkata banyak kes HIV di negara ini tidak dilaporkan dan ramai pula yang enggan menjalani ujian darah.

Wanita dan kanak-kanak yang dijangkiti HIV juga dilaporkan meningkat, katanya. Sehingga Mei lalu, 30,187 kes HIV dilaporkan di Malaysia, katanya. -- Bernama.

KEMBALI