REAKSI PERTAMA DI PIHAK KERAJAAN

11 September, 1999

Kenyataan Pak Lah 'B' selaku Menteri Dalam Negeri  dan Timbalan Perdana Menteri berhubung dengan kes DSAI diracun disifatkan sebagai melepaskan batuk di tangga.

Beliau bagaimana pun dilaporkan telah mengarahkan supaya penyiasatan segera dijalankan terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim diracun.

Dalam kenyataan akhbarnya semalam, Datin Seri Wan Azizah Ismail mahu siasatan bebas dimulakan untuk mengetahui punca keracunan terhadap suaminya yang telah dibangkitkan oleh para peguam semasa sessi perbicaraan tuduhan liwat DSAI di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Abdullah berkata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamed Nor Rahim akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memulakan penyiasatan, sambil menyifatkan beliau memandang berat terhadap tuduhan yang dikatakan oleh Dr Wan Azizah itu.

Abdullah berkata, polis dan pihak penjara tidak tahu menahu mengenai sampel air kencing yang dikatakan milik Anwar itu atau tarikh bila ia dibawa keluar dari penjara Sungai Buloh.

Abdullah cuba menafikan pertanggunganjawaban di pihak Kerajaan dengan mengatakan selain menerima makanan yang dibekalkan oleh pihak penjara, Anwar turut menerima makanan daripada keluarganya ketika mereka melawat beliau.

Beliau juga melahirkan rasa terkejut mengenai tempoh masa yang agak lama yang diambil daripada laporan patologi itu dikemukakan (26 Ogos 1999) sehingga hari ini untuk memberitahu mengenai dakwaan keracunan Anwar itu.

Abdullah juga mendakwa Anwar dilayan dengan baik ketika di dalam penjara dan berbeza dengan apa yang dikatakan oleh parti-parti pembangkang dalam ceramah politik mereka sehingga ada yang menyebut bahawa beliau telah diseksa.

Bekas timbalan perdana menteri itu didakwanya, menerima bekalan makanan yang segar merangkumi ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan. Anwar juga ditempatkan di sebuah bilik yang luas menyamai sebuah "studio apartmen" yang dilengkapi beberapa buah tingkap serta diberikan bekalan bahan bacaan seperti majalah dan buku.

Sesungguhnya kenyataan Pak Lah B jelas merujuk kepada menafikan tanggungjawab pihak kerajaan setelah setahun menjaga DSAI dalam lokap Bukit Aman dan di Penjara Sg. Buloh, malah cuba membohongi rakyat dengan layanan VIP yang beliau maksudkan.

Pak Lah B, rakyat tidaklah sebodoh yang anda sangkakan!


KEMBALI