IMF AKUI KAEDAH MALAYSIA?

11 September, 1999

PM Mahathir Mohamad mendakwa, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kini terpaksa mengakui bahawa kaedah yang digunakan Malaysia untuk memulihkan ekonomi secara berkesan setelah sebelum ini mengecam negara ini dengan mengatakan ia tidak tahu menguruskan ekonominya sendiri.

Menurut beliau, Lembaga Eksekutif IMF dalam penilaian tahunan mengenai Malaysia yang dikeluarkan di Washington Rabu lalu memuji kerajaan Malaysia kerana melaksanakan strategi penyusunan semula kewangan yang berkesan dan dirancang dengan baik.

Mahathir berkata dalam tempoh satu tahun ini sejak Malaysia memperkenalkan dasar kawalan modal terpilih, ekonomi negara pulih dengan pesatnya berbanding ekonomi negara lain yang mendapat bantuan IMF.

Menurutnya, keuntungan syarikat tempatan meningkat ketika negara mengamalkan kawalan mata wang dan ini terbukti apabila Maybank dan Sime Darby masing-masing mencatatkan keuntungan kira-kira RM1 bilion.

Kini pihak luar berkata ekonomi Malaysia mampu tumbuh sehingga empat atau lima peratus berbanding satu peratus yang diramalkan kerajaan, katanya.

"Sama ada mereka ramal empat peratus atau satu peratus, kerajaan akan berusaha membangunkan negara supaya pada hujung tahun prestasi ekonomi negara mencapai lebih satu peratus," katanya.


KEMBALI