Mahathir Fitnah Rakyat Pula!

14 September, 1999

Kenyataan PM Mahathir berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia semasa berucap di merasmikan Persidangan Undang-undang Komanwel Ke-12 di Pusat Persidangan Sunway Pyramid semalam, perlu dipandang berat oleh rakyat negara ini kerana beliau cuba mengalihkan perhatian dunia dari kezaliman yang dilakukannya serta pelanggaran hak asasi manusia terhadap manusia bernama Anwar Ibrahim dan para penyokongnya.

Antara lain diktator tua dan nyanyuk itu menjelaskan dunia tidak adil melihat apa yang dilakukannya (ke atas penentang politik di Malaysia) sebagai pelanggaran hak asasi, sedangkan kuasa besar terus bermaharaja lela, melakukan pelanggaran hak asasi manusia dengan menindas berjuta-juta orang tanpa dihukum. Demikian juga peniaga mata wang yang disifatkan Mahathir sebagai melanggar hak asasi manusia apabila berjaya membawa berbilion-bilion ke luar negara hasil kecekapan mereka meraih keuntungan dalam perniagaan mereka.

Mahathir juga meletakkan kesalahan rakyat yang berdemontrasi membantah kezaliman yang dilakukan ke atas DSAI apabila menyifatkan mereka sebagai menimbulkan huru hara ketidakstabilan, rusuhan dan pembunuhan.

Mahthir juga dengan angkuhnya menyalahkan mereka yang berada di kalangan perundangan negara, kerana meskipun mereka memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, mereka didakwa tidak begitu mengambil berat terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang dengan nyata dilakukan secara besar-besaran di seluruh dunia.

Diktator tua itu selanjutnya berkata Malaysia adalah sebuah negara demokratik yang menegakkan kedaulatan undang-undang. Manakala orang luar yang datang, memerhati dan membuat ulasan, dianggap merosakkan sesebuah negara dan melibatkan kerugian perdagangan yang bernilai berjuta-juta ringgit. Pemberita, kru TV dan pelbagai pakar datang dan pergi, mendedahkan kepincangan negara kepada siasatan yang terperinci.

Justeru itu beliau menyatakan kesalahan rakyat negara ini ialah kerana membantah tindakannya memecat DSAI yang hanya disifatkan hanya seorang penentang politik. Sebaliknya beliau melindungkan kezalimannya dengan memperalatkan jentera-jentera kerajaan ke atas rakyatnya sendiri yang tidak sehaluan dan tidak separti dengannya.

Mahathir juga menuding jari ke negara asing dengan mendakwa mereka melakukan perbuatan yang menjadikan berjuta-juta orang papa atau menyebabkan mereka tidak mendapat bantuan perubatan atau membunuh sejumlah besar orang secara langsung atau tidak langsung.

Mahathir selanjutnya memfitnah rakyat negara ini dengan mendakwa mereka yang membantah tindakan zalim kerajaan sebagai ganas, perusuh yang membaling batu dan membakar kedai, sedangkan hakikatnya sebuah kedai pun tidak pernah dibakar oleh para demontrasi.

PM Mahathir juga berkata negara luar mengamalkan sekatan makanan dan perubatan hanya semata-mata mahu memaksa seorang diktator menyerah diri. Begitu pula negara tersebut di bom secara berterusan dalam usaha memaksa pemimpin negara itu membenarkan pihak antarabangsa memeriksa negaranya, mengakibatkan lebih ramai rakyat yang tidak bersalah terkorban.

Diktator Mahathir seterusnya menyindir pelbagai pihak termasuk rakyat negara ini dengan berkata penguatkuasaan undang-undang dan keamanan tidak lagi boleh dilakukan dengan memukul dan memasukkan orang ke dalam penjara, penguatkuasa undang-undang perlu "berlembut dan berhati-hati" kerana apa yang mereka lakukan akan dirakamkan dan disiarkan melalui televisyen ke seluruh dunia.

Mahathir berkata demikian dalam persidangan yang bertemakan "Undang-undang dan Masyarakat Dalam Abad Ke-21", dianjurkan oleh Persatuan Peguam Komanwel dan Majlis Peguam Malaysia.


KEMBALI