JANGAN KETEPIKAN KOMEN MENGENAI KEPUTUSAN MAHKAMAH, KATA MAJLIS PEGUAM

14 September, 1999

Majlis Peguam semalam berkata komen-komen mengenai keputusan mahkamah Malaysia baru-baru ini tidak wajar diketepikan atau tidak diendahkan dengan menyelar mereka yang membuatnya sebagai pengacau.

Presidennya R.R. Chelvarajah berkata akhir-akhir ini, beberapa keputusan mahkamah tempatan dalam beberapa kes berprofil tinggi telah dikomen di dalam dan luar negara.

"Ia (komen-komen itu) patut ditimbangkan secara serius bertujuan untuk mengambil tindakan-tindakan pemulihan yang mungkin perlu" katanya semasa berucap pada Persidangan Undang-undang Komanwel Ke-12 di sini.

Chelvarajah berkata tiada apa yang lebih melemahkan sesebuah negara daripada mempunyai badan kehakiman yang tidak dihormati dan diyakini orang ramai.

Beliau juga berkata satu prinsip undang-undang lazim yang peguam tidak harus biarkan terhakis ialah kebebasan badan kehakiman.

"Berdasarkan prinsip ini, hakim bukan kakitangan kerajaan; mereka adalah pekerja keadilan.

"Dan menjadi fungsi mereka untuk memastikan keadilan dilaksanakan bukan sahaja antara individu tetapi juga antara individu dan negara," kata Chelvarajah.

Persidangan empat hari itu, anjuran Persatuan Peguam-peguam Komanwel dan Majlis Peguam, dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Chelvarajah berkata keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi baru-baru ini telah menyebabkan ramai peguam dan hakim dari beberapa negara Komanwel mempersoalkan kewajaran mengadakan persidangan itu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Majlis Peguam Malaysia melihat isu itu daripada perspektif berbeza.

"Kami merasakan bahawa oleh kerana keadaan-keadaan sekarang ini, para peguam dan hakim terkemuka Komanwel perlu datang dan berkumpul bersama-sama kami di sini untuk membincangkan secara terbuka dan menyuarakan kebimbangan serta pandangan bersama kita." katanya. -- BERNAMA

KEMBALI