Polis tahan enam penyokong reformasi

14 September, 1999

Enam orang, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini dua malam lalu, setelah polis menemui pita rakaman video reformasi dan risalah-risalah anti UMNO daripada mereka.

Polis, yang membuat pemeriksaan di pintu masuk Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak tengah hari kelmarin, menahan dua buah kereta dan menjumpai pita-pita video dan risalah itu di dalam sebuah daripada kereta berkenaan pada 8.40 malam.

Ketua Daerah Polis Cheras, ACP Ali Hanafiah, berkata dua lelaki dan dua kanak-kanak menaiki sebuah kereta manakala seorang lagi lelaki dan seorang wanita menaiki kereta lain.

Beliau berkata mereka ditahan untuk disoal siasat setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Kesemua mereka dibawa ke IPD Cheras untuk disoal siasat dan dibebaskan tidak lama selepas itu," katanya.

Polis membuat kawalan di HUKM sejak tengah hari berikutan maklumat bahawa kemungkinan para penyokong mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan berarak ke HUKM.

Datuk Seri Anwar kini menjalani rawatan di hospital itu.

"Kawalan itu akan ditarik balik jika tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," kata ACP Ali.

Cyberita


KEMBALI