TIGA ANGGOTA PARTI KEADILAN HADIR DI IPK BERI KETERANGAN

15 September, 1999 

Dua pemimpin dan seorang anggota Parti Keadilan Nasional (Keadilan) semalam hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini untuk membantu siasatan kejadian seorang pegawai polis yang cedera diserang sekumpulan penyokong "Reformasi" di ibu negara, Sabtu lepas.

Naib presiden Keadilan Chua Tian Chang (Tien Chua), Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohamad Nor dan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Azmin Ali tiba pukul 3.30 petang semalam setelah diminta hadir bagi membolehkan kenyataan mereka direkodkan berhubung kejadian itu.

Tien Chua keluar daripada perkarangan IPK pukul 6.40 petang dan ketika ditanya mengenai soal siasat itu beliau berkata kenyataan beliau direkodkan lebih dua jam manakala Mohamad Ezam dan Mohamad Azmin ketika itu masih belum selesai memberi keterangan masing-masing.

Mohamad Ezam dan Mohamad Azmin keluar daripada perkarangan IPK kira-kira pukul 8 malam.

Keterangan ketiga-tiga mereka direkodkan kerana didapati berada di tempat kejadian semasa pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi C/Insp Zaidy Haron diserang.

Dalam kejadian Sabtu lepas, Zaidy ditumbuk di muka dan kepala bertubi-tubi dan juga ditendang di bahagian perut dan terjatuh ketika cuba menasihati kumpulan reformasi berhenti berarak ketika bertugas mengawal ketenteraman awam di kawasan Pasar Seni.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Mat Zain Ibrahim ketika dihubungi berkata tindakan polis memanggil sesiapa yang dirasakan boleh membantu siasatan adalah prosedur biasa.

Beliau berkata polis telah mengesahkan kenyataan ketiga-tiga mereka direkodkan oleh pegawai penyiasat berhubung kes itu.


KEMBALI