SUK Perak Guna Pentas Rasmi Berpolitik

16 September, 1999

Tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato Abdul Majid Hussein menggunakan pentas rasmi untuk berpolitik di kalangan kakitangan Kerajaan daerah Kinta disifatkan oleh pemerhati politik tempatan sebagai keterlaluan dan tidak kena pada tempatnya.

Dato' Abdul Majid adalah dalam jadual lawatan kerja rasmi ke daerah Kinta. Beliau berucap di hadapan kira-kira 500 orang kakitangan pelbagai Jabatan di Pejabat Daerah Kinta, Batu Gajah, pagi semalam.

Dalam ucapannya Dato' Abdul Majid mendakwa projek mega seperti Menara Kembar Petronas, Mahligai Air Mata Rakyat, Putrajaya mahupun Sepang Circuit F1 bukanlah merupakan projek pembaziran oleh kerajaan.

Begitu pula, Dato' Abdul Majid mendakwa kedudukan ekonomi negara sekarang sudah 100 peratus pulih dan kakitangan kerajaan tidak perlu bimbang berkenaan kedudukan gaji mereka serta lain emolumen yang dijanjikan menjelang akhir tahun ini.

Dato' Majid juga mendakwa dokumen yang dihantar ke luar negara oleh Ezam Mohd Noor adalah dokumen rahsia kerajaan.

Menyentuh kedudukan rakyat di daerah Kinta, Dato' Majid menegaskan bahwa tiada rakyat yang tidak menerima kemudahan asas seperti air, api dan jalan tar.

Seterusnya Dato' Majid memberi amaran kepada kakitangan kerajaan supaya jangan cuba mengikuti ceramah alternatif. Kakitangan kerajaan juga diugut akan diambil tindakan tatatertib jika memakai lambang alternatif atau mengibarkan bendera alternatif.

Seperkara yang amat menarik dan jelas berbohong ialah bahawa tiada wujud perbuatan rasuah di kalangan kakitangan kerajaan Negeri Perak bermula dari Ramli Marcos hinggalah ke paling bawah.

Selain itu Dato' Abdul Majid menegaskan sama seperti ketegasan Maha Firaun bahawa Malaysia tidak memerlukan kepada bantuan IMF.

Kakitangan kerajaan yang hadir melaporkan bahawa mereka tidak menyambut segala keghairahan ucapan yang berapi-rapi dari Dato' Abdul Majid dengan tepukan sebaliknya hanya membisu.

Demikianlah agenda kerajaan BN, jika gagal memujuk, tekanan pula digunakan untuk memastikan rakyat akan menyebelahi BN.

Tinjauan rambang ke atas pejabat-pejabat Kerajaan di Lembah Kinta, lebih 60 peratus kakitangan tersebut sudah berpihak kepada parti alternatif dan seringkali menghadirikan diri ke siri ceramah alternatif, di mana sahaja ianya diadakan.

Mereka termasuklah dari Pejabat Menteri Besar sendiri, Pejabat Setiausaha Kerajaan, Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Tatatertib dan tidak kurang jumlahnya dari Pejabat Tanah dan Daerah Kinta sendiri.


Kembali