18 September, 1999
Tindakan kerajaan Pusat yang melaksanakan pembangunan fizikal tanpa melakukan sama pembangunan rohaniah akan menyebabkan negara ini terdedah kepada kegawatan sosial yang teruk di masa hadapan.
Perlaksanaan itu dilihat sebagai 'taktik lama' kerajaan yang memerintah untuk terus mengekalkan kuasa, tanpa menyedari ianya telah menjadi isu berpuluh-puluh tahun lamanya semenjak kerajaan BN berkuasa dan menganggap ia adalah anugerah kerajaan kepada rakyat.
Apa yang sebenarnya berlaku, wang projek-projek berkenaan datang daripada rakyat menerusi pelbagai cukai seperti balak, jalan, tanah dan adalah wajar kerajaan BN mengembalikan wang itu semula kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan.
Justeru itu, kerajaan harus terus melaksanakan pembinaan jalan-jalan kampung dan sekolah-sekolah baru, dan ia tidak seharusnya dijadikan modal kempen kerana perkara itu menunjukkan pemikiran yang lapok.
Apa yang lebih dikesalkan ialah apabila sesuatu projek siap dibina, kerajaan akan meminta rakyat yang mendapat nikmat pembangunan itu menyokong kerajaan BN
dan perlu bersyukur. Jika enggan, rakyat akan di ugut dan mereka mungkin disumbat ke dalam penjara dan buang kerja.
Sepatutnya pemimpin kerajaan BN menggalakkan rakyat yang mendapat nikmat itu bersyukur kepada Allah atas kurniaannya dengan
tidak payah menekan dan mengugut sesiapa bagi tujuan politik yang sempit. Para pemimpin BN juga perlu bersyukur kerana rakyat mahu memilih
mereka.
Namun pembangunan jasmani yang tidak disertai dengan pembangunan rohani manusia akan menyebabkan rakyat kehilangan pedoman dan sesat fikiran mereka kerana asyik memikirkan soal kebendaan tanpa bertakwa kepada Allah.
Dalam hal ini, ulama perlu memainkan peranan dengan menyedarkan rakyat mereka tentang tanggungjawab mereka mesti membangun bersama Islam dan jika terdapat ulama yang tidak menggunakan ilmu yang ada, mereka akan dilaknat oleh Allah lebih daripada orang kafir menyembah berhala.
Saranan ini dibuat oleh Mursidul Am PAS, Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat pada kuliah subuhnya pagi Jumaat lalu.