KENYATAAN MEDIA (17 SEPTEMBER 1999)

ISU KHALWAT AZIZAN : PERBICARAAN ANWAR MESTI DIHENTIKAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa kesal di atas sikap tidak berakhlak Azizan Abu Bakar, saksi utama perbicaraan tuduhan liwat bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim kelmarin. Azizan yang dilaporkan ditangkap khalwat bersama seorang pelajar berusia 22 tahun di Alor Gajah, Melaka adalah tidak layak lagi untuk menjadi saksi utama kepada perbicaraan ini kerana beliau bukan lagi seorang saksi yang adil bahkan merupakan saksi yang fasik. Kesaksian orang yang fasik dalam kes zina dan liwat adalah tidak boleh diterima.

Azizan yang telahpun dihadapkan ke Mahkamah Syariah Alor Gajah kelmarin didakwa di bawah Syeksen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM 2000.00 sementara menunggu perbicaraan pada 12 Oktober ini. DPP Pusat melihat kejadian khalwat bersama seorang gadis ini amat memalukan memandangkan selama ini Azizan mendakwa dirinya diperlakukan secara luar tabie' oleh Dato' Seri Anwar, tetapi hari ini terbukti bahawa Azizan sendiri merupakan seorang yang tidak bermoral.

Ketika di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azizan telah memberikan beberapa keterangan yang bercanggah dan meragukan sehingga menjadikan perbicaraan ini tempat pertikaman lidah para peguam. DPP Pusat sejak dahulu lagi telah meragui kesahihan dan kebenaran kenyataan Azizan dan hari ini terbukti bahawa Azizan bukanlah seorang saksi yang adil dan boleh dipercayai.

DPP Pusat mendesak pihak Peguam Negara agar menarik balik dakwaan ke atas Dato' Seri Anwar kerana saksi utama yang dikemukakan oleh Pendakwaraya sudah tidak boleh dipercayai lagi. DPP Pusat juga mendesak Hakim Mahkamah Tinggi agar memutuskan bahawa tiada kes dalam tuduhan terhadap Dato' Seri Anwar kerana saksi utama sudah tidak layak didengar keterangannya. DPP Pusat membimbangi jika saksi utama seorang yang tidak adil memberi keterangan akan menyebabkan tidak wujud lagi keadilan terhadap tertuduh.

DPP Pusat melihat jika kes ini batalkan, Dato' Seri Anwar mesti dibebaskan daripada tahanan di Penjara Sungai Buluh kerana tuduhan sebelum ini adalah penyalahgunaan kuasa untuk melindungi perbuatan liwatnya dan hari ini terbukti bahawa tuduhan tersebut hanyalah konspirasi yang diaturkan oleh musuh politik beliau yang turut melibatkan seorang saksi yang fasik.
 
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Tuan Yang Terutama,
Pesuruhjaya Tinggi India
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India,
KUALA LUMPUR.

17 SEPTEMBER 1999

Tuan Yang Terutama,

BANTAHAN TERHADAP SOKONGAN INDIA TERHADAP SERANGAN RUSSIA KE ATAS UMAT ISLAM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) merasa sangat kesal di atas surat Menteri Luar India yang dihantar kepada Menteri Luar Rusia yang menyokong tindakan ganas Rusia terhadap umat Islam di Dagestan dan Chechnya. DPPP melihat tindakan ini sebagai penyertaan India bersama rangkaian pengganas antarabangsa di dalam merancang konspirasi terhadap umat Islam.

India yang terkenal sebagai negara demokrasi terbesar di dunia sepatutnya bertindak waras dengan membantah serangan ganas dan menggalakkan penyelesaian secara diplomatik. Sokongan tidak bertamadun ini sudah tentu akan mencetuskan suasana tidak harmoni di antara masyarakat Hindu dan masyarakat Islam di India dan juga di seluruh dunia. Pertembungan tamadun secara kekerasan sewajarnya dielakkan daripada dibincangkan secara terbuka di peringkat antarabangsa.

DPPP juga melihat dengan penuh kekesalan bahawa India hari ini turut berusaha memerangi umat Islam di Kashmir setelah berpuluh tahun India menjajah secara haram bumi umat Islam ini. DPPP mendesak agar India memberikan hak dan kebebasan kepada Kashmir untuk membentuk negaranya sendiri tanpa ganguan diktator India.

DPPP sekali lagi menyatakan kekesalan di atas sikap negatif India terhadap umat Islam. DPPP mendesak agar kerajaan India menarik balik sokongan ini dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam demi untuk perpaduan antarabangsa.

Keprihatinan pihak Kerajaan India adalah amat diharapkan. Sekian, terima kasih.
 
Yang Benar,
 
 

SALAHUDDIN HAJI AYUB

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.