Mampukah BN Memenangi Pilihanraya Kali Ini?

21 September, 1999

Kenyataan presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik beberapa hari lalu, yang beliau yakin BN mempunyai sokongan 99 peratus masyarakat Cina dalam pilihan raya akan datang, disangkal oleh  oleh Ketua Pemuda PAS Pusat Hj. Mahfuz Omar.

Namun ia mungkin jadi kebenaran, seandainya gerakkan parti alternatif untuk meraih undi dan sokongan, gagal dibuat terutama dalam menjelaskan isu yang berbangkit di kalangan kaum Cina.

Justeru itu tugas yang amat berat perlu dipikul oleh semua ahli parti alternatif, supaya memulakan dari sekarang, gerakkan menjelaskan kepada yang belum jelas tentang kezaliman kerajaan dan perlunya BN ditumbangkan dalam pilihanraya kali ini.

Menurut Hj. Mahfuz lagi, pilihanraya kali ini merupakan yang terbaik antara 9 siri pilihanraya lalu untuk parti alternatif menumbangkan BN dan membentuk kerajaan baru. Beliau mahu semua rakyat menggembelingkan tenaga yang ada kerana pilihanraya akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Seterusnya Hj.  Mahfuz menerangkan, kedudukan BN yang 'bertahan' dari posisi kebiasaan mereka menggempur dan menyerang, adalah merupakan peluang terbaik untuk kita memenangi pilihanraya kali ini.

Hj. Mahfuz juga memberitahu kenyataan Dr. Ling hanya bersifat gimik politik dan rakyat jangan mudah tertipu dengan kata-kata beliau. Jaminan yang diberikan oleh ketua kaum Cina di negara ini dari pertubuhan bukan kerajaan, meyakinkan beliau bahawa kaum Cina akan sama-sama dalam perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran sebagaimana yang diperjuangkan oleh parti alternatif.

Hj. Mahfuz Omar berkata demikian dalam ceramah umumnya di Taman Jati, Jelapang Ipoh, malam Isnin lalu.


KEMBALI