RAYUAN PILIHAN RAYA BUKAN SATU "ANCAMAN" KEPADA PARTI POLITIK

21 September, 1999
 
Jawatankuasa Kerja Rayuan Pilihan Raya Pertubuhan Cina Malaysia hari ini menafikan rayuan yang dikemukakannya adalah satu "ancaman" sebaliknya ia adalah untuk menonjolkan keprihatinan dan harapan semua rakyat Malaysia mengenai pelbagai isu dan demi kepentingan rakyat.

Rayuan Pilihan Raya 17 perkara dari 11 pertubuhan Cina itu antara lain memberi tumpuan kepada isu-isu yang menggalakkan perpaduan nasional, membendung amalan rasuah, mendukung hak asasi manusia dan keadilan, dasar ekonomi yang adil dan saksama, media yang adil, dan saranan supaya diadakan dasar pendidikan yang liberal dan progresif.

"Rayuan Pilihan Raya dibuat dengan harapan semua parti politik akan sensitif dengan hasrat rakyat, yang membawa kepada menganalisis sendiri agenda parti masing-masing dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi.

"Ia bukan satu "ugutan" atau "ancaman" kepada kerajaan sedia ada," kata penyelaras jawatankuasa itu Ser Choon Ing pada persidangan media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di sini.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik kenyataan presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia Datuk Chong Chin Shoong bahawa pertubuhan membuat permintaan demikian demi kepentingan peribadi mereka.

Beliau berkata kenyataan Chong telah menyebabkan kekeliruan di kalangan masyarakat Cina mengenai pendirian 11 pertubuhan itu.

"Anggota-anggota kami bebas untuk menyokong atau tidak mana-mana parti politik. Kami menyerahkannya kepada mereka," kata Choon Ing.

Choon Ing berkata rayuan itu disiarkan dalam versi bahasa Cina pada 16 Ogos tahun ini dan telah diperakukan oleh 1,902 pertubuhan Cina di negara ini,setakat hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan mengemukakan Rayuan Pilihan Raya kepada semua parti politik tidak lama lagi untuk disahkan. Pertubuhan-pertubuhan Cina berkenaan ialah Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong), Persatauan Guru-guru Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Jiao Zong), Persatuan Alumni Sekolah Cina Bersatu Malaysia, Persatuan Alumni Universiti Nanyang Malaya, Persatuan Alumni Graduan Taiwan Malaysia.

Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Persekutuan Persatuan Guangdong Malaysia, Persekutuan Persatuan Guangxi Malaysia, Persekutuan Persatuan Sanjiang Malaysia, Persekutuan Persatuan Fuzhou Malaysia dan Pusat Penyelidikan Huazi.

Rayuan ini ada kaitannya dengan laporan Minda Rakyat semalam berhubung dengan kaum Cina juga akan menghantar memorandum mereka kepada kerajaan.


KEMBALI