Dimanakah Maruah Polis Sebenar!!!

22 September, 1999

Tindakan dan kekasaran pihak polis terhadap rakyat, serta kezaliman mereka yang tidak mengenal kanak-kanak dan wanita serta orang tua, memperlihatkan bahawa penglibatan polis bagi mempertahankan kedudukan regim Maha Firaun itu secara nyata, terang lagi jelas.

Namun hakikat ini cuba disangkal oleh TPM, Pak Lah Badawi yang menyifatkan polis bertindak 'mesra' dan tidak boleh berdiam diri jika keselamatan mereka diancam. Hakikatnya siapa mengancam dan siapa pula terancam?

Media sendiri sudah membuktikan bahawa pihak polislah yang bertindak liar melalui rakaman yang seringkali diulang tayang melalui TV3, bahawa kedudukan polis disebelah kiri gambar membaling objek ke sebelah kanan gambar yang didiami oleh para penunjuk perasaan.

Ketidakadilan Menteri Dalam Negeri itu juga jelas kelihatan, apabila beliau menyalahkan rakyat yang berdemontrasi tetapi enggan melihat isu sebenar yang diperjuangkan mereka iaitu isu keracunan DSAI semasa dalam tahanan di penjara Sg. Buloh.

Pak Lah juga sudah berani mencabar rakyat, dan pastinya beliau akan menjadi mangsa yang akan 'terhukum' dalam siri pilihanraya umum negara akan datang.

Jelas kepada rakyat dalam peristiwa Ahad lalu, bahawa campurtangan FRU dan juga polis dalam politik tanahair membuktikan amalan demokrasi sudah bertukar kepada 'otokrasi'. Dasar 'tidak bebas' polis terbukti dengan pembelaan Menteri Dalam Negeri itu yang juga Naib Presiden UMNO.

Media turut memaparkan kesalahan rakyat yang berdemontrasi tetapi tidak menayangkan dengan jelas peristiwa rakyat 'merusuh' sebagaimana dakwaan pemimpin BN kerana rakyat sebenarnya dizalimi dan diserang, bukannya menyerang!!

Kerajaan juga berdiam diri terhadap beribu-ribu rakyat yang cedera akibat kerakusan polis memelihara martabat UMNO dan para pemimpinnya. Tiga orang polis yang didakwa cedera tidak akan mampu menandingi beribu-ribu mereka yang cedera akibat dibelasah polis!

Semoga Allah memberikan pembalasan kepada mereka yang bersifat zalim!!!


KEMBALI